TONGGAK Harimau Malaya Arif Aiman
TONGGAK Harimau Malaya Arif Aiman
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) mengharapkan 'restu' pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya melepaskan Arif Aiman Hanapi untuk beraksi bersama pasukan muda itu pada kempen Piala Asia B-23 pada April depan.

Harapan menggunung itu disuarakan pengurus skuad B-23 negara Datuk Seri Shahril Mokhtar yang melihat kehadiran Arif Aiman dapat menyuntik lagi semangat pemain muda lain untuk beraksi lebih cemerlang pada kejohanan besar itu.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Walaupun mengetahui agak berat permintaan itu, Shahril mengharapkan hasrat berkenaan dapat dipertimbangkan walaupun perlawanan Piala Asia B-23 berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Harapan saya adalah dapat dilepaskan atau sebaliknya dan mengharapkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dapat menunaikannya kerana khidmat Arif Aiman sememangnya ditagih.

"Kehadiran Arif Aiman cukup penting kerana bukan saja mempunyai skil yang tinggi namun dia sudah pastinya menjadi contoh kepada pemain lain untuk mempamerkan aksi lebih baik.

"Saya sangat mengharapkan TMJ terbuka hati untuk melepaskan Arif Aiman walaupun seperti sedia maklum perlawanan itu berlangsung di luar kalendar Fifa," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, skuad kendalian Juan Torres Garrido mungkin boleh melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar April depan selepas diundi dalam kumpulan yang agak seimbang.

Menerusi majlis undian di Qatar, skuad muda negara itu diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Namun, Arif Aiman sememangnya 'laku keras' untuk mewakili skuad kebangsaan kerana khidmatnya turut ditagih untuk membantu pasukan senior meraih keputusan positif di pentas Piala Asia, Januari tahun depan.

Malah, Arif Aiman juga antara tonggak utama yang sering diturunkan JDT bagi mengharungi saingan Liga Super dan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Tamat//

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 1:30 PM