SUMAREH (kiri) dipanggil semula menyertai kem latihan skuad bola sepak kebangsaan. FOTO ARKIB NSTP
SUMAREH (kiri) dipanggil semula menyertai kem latihan skuad bola sepak kebangsaan. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Ini peluang keemasan dan terakhir Mohamadou Sumareh untuk pikat barisan kejurulatihan negara."

Itu pandangan jurulatih berpengalaman tanah air, Azraai Khor Abdullah ketika mengulas mengenai tindakan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyenaraikan semula beberapa muka lama termasuk tonggak naturalisasi pertama negara, Sumareh ke kem pasukan kebangsaan.

Berdasarkan senarai 25 pemain yang dipanggil ke latihan pusat bermula Jumaat ini, Pan-gon menyenaraikan lima pemain baharu yang kembali tersenarai iaitu Sumareh, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shahrul Saad dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Azraai, 71, yang pernah dinobatkan jurulatih terbaik kebangsaan pada 2008 mengakui tindakan Pan-gon memanggil beberapa pemain terutama Sumareh agak mengejutkan ramai pihak.

Namun, katanya, langkah jurulatih berasal dari Korea Selatan itu seolah-olah memberi 'talian hayat kedua' buat Sumareh untuk memikat perhatian Pan-gon khususnya memburu tempat ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar, Januari depan.

"Macam Afiq Fazail, kita sudah biasa lihat dia bermain dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) dalam banyak perlawanan dan kita sudah tahu kemampuannya.

"Tapi buat Sumareh ia berlainan. Sumareh kita tahu dia sudah lama tidak beraksi bersama JDT mahupun pasukan kebangsaan, jadi bagi saya ini peluang keemasan untuknya.

"Dia (Sumareh) tak boleh lepaskan peluang keemasan ini dan kena guna sebaiknya untuk dapatkan tempat. Semua pemain mahu berada dalam skuad Piala Asia (di Qatar), begitu juga dengan dia," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pemain dipanggil menyertai kem latihan sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila Malaysia bakal turun dalam aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas itu, anak didik Pan-gon akan terbang ke Taiwan untuk aksi kedua lima hari kemudian dengan baki perlawanan disambung bertemu Oman, Mac depan.

Mengikut rekod, kali terakhir Sumareh disenaraikan dalam skuad kebangsaan adalah pada September tahun lalu bagi mengharungi Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Thailand.

Afiq yang sering membarisi kesebelasan utama JDT pula hanya disenaraikan Pan-gon pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldivies pada Disember tahun lalu sebelum digugurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 4:43 PM