MOHAMADOU Sumareh. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
MOHAMADOU Sumareh. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali percaya Kim Pan-gon mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau menyenaraikan tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumerah biarpun memiliki minit permainan yang sangat kurang.

Safee yang juga pemenang kasut emas Piala AFF 2010 berkata, Pan-gon adalah seorang jurulatih yang cukup teliti dalam tugasannya dan sudah pasti tindakan memanggil Sumareh bersebab.

Malah, kelebihan fizikal selain kepantasan Sumerah boleh dieksplotasi sebaiknya oleh skuad Harimau Malaya untuk dijadikan 'senjata rahsia' di belakang Faisal Halim mahupun Akhyar Rashid di mana ketiga-tiganya beraksi di bahagian sayap.

"Saya berasa kita patut serahkan segala perancangan kepada Pan-gon sebab beliau yang lebih tahu (kenal pemain), setiap hari dia memantau pemain.

"Dia juga tahu bagaimana nak mencorakkan pasukan dia sendiri. Mungkin dalam senarai dia sudah tahu berapa nama yang harus dipanggil dan juga yang tak harus dipanggil.

"Skuad yang ada ini pun tak banyak berubah dan tidak akan menjejaskan keseluruhan pasukan Harimau Malaya," katanya yang juga Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Terdahulu, barisan kejurulatihan negara diketuai Pan-gon mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil ke latihan pusat bermula Jumaat ini, termasuk lima pemain baharu yang kembali tersenarai iaitu Sumareh, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shahrul Saad dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, jurulatih berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan panggilan menyertai skuad kebangsaan kali ini sebagai peluang keemasan dan talian hayat terakhir buat Sumareh untuk terpilih ke Piala Asia di Qatar, Januari depan.

Panggilan kem latihan bermula Jumaat ini adalah persediaan pasukan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di mana Malaysia bakal turun dalam aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas itu, anak didik Pan-gon akan terbang ke Taiwan untuk aksi kedua berdepan tuan rumah lima hari kemudian dengan baki perlawanan disambung pada Mac depan bertemu Oman.

Mengikut rekod, kali terakhir Sumareh disenaraikan dalam skuad kebangsaan adalah pada September tahun lalu bagi mengharungi Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 12:18 PM