Pengendali United, Ten Hag. -FOTO AFP
Pengendali United, Ten Hag. -FOTO AFP
AFP

London: Erik ten Hag berkata dia mengadakan perbincangan "sangat positif" dengan Jim Ratcliffe ketika pengendali Manchester United yang sedang dikritik itu mengadakan pertemuan dengan pemegang kepentingan minoriti baharu kelab itu minggu ini.

Kumpulan INEOS Ratcliffe akan mengambil alih kawalan operasi bola sepak United sebaik sahaja pembelian 25 peratus saham dalam kelab Old Trafford itu disahkan.

Jutawan Britain itu berada di Manchester untuk beberapa siri pertemuan dengan kakitangan kelab, termasuk Ten Hag, yang dikritik hebat kerana musim kedua yang bermasalah.

United tersingkir daripada Liga Juara-Juara dalam peringkat kumpulan, tersingkir daripada Piala Liga oleh Newcastle dan ketinggalan sembilan mata di belakang empat teratas Liga Perdana dan kini berada di di tempat kelapan.

Ten Hag berada di bawah tekanan hebat selepas mengalami 14 kekalahan setakat ini musim ini namun jurulatih Belanda itu berkata hubungannya dengan Ratcliffe berjalan lancar.

"Ia sangat positif. Kami mengadakan pertemuan yang panjang, selama berjam-jam kami duduk bersama dan banyak isu kami mempunyai berpendapat yang sama jadi ia sangat positif," kata Ten Hag.

"Saya fikir dari kedua-dua pihak ia satu pertemuan yang sangat membina dan saya berharap dapat bekerjasama dengan mereka."

United bertandang ke Wigan untuk pusingan ketiga Piala FA Isnin ini dan kekalahan mengejut kepada pasukan divisyen tiga itu akan menambah tekanan kepada Ten Hag.

Salah satu isu yang melanda Ten Hag adalah berhubung masa depan Jadon Sancho.

Penyerang England itu tidak beraksi sejak Ogos selepas bertengkar dengan pengendali Belanda itu apabila dia digugurkan untuk perlawanan di Arsenal.

Sancho dikatakan hampir menyertai semula Borussia Dortmund secara pinjaman sehingga akhir musim, tetapi Ten Hag tidak memberi sebarang komen mengenai laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 8:28 AM