RONALDO masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Liverpool. FOTO EPA
RONALDO masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Liverpool. FOTO EPA
AFP

London: Erik ten Hag menegaskan Cristiano Ronaldo masih mempunyai masa depan di Manchester United selepas bintang Portugal itu berdepan episod memalukan kerana diketepikan dalam kesebelasan utama ketika mereka mencatat kemenangan 2-1 ke atas Liverpool pagi tadi.

United kelihatan jauh lebih tragis apabila tanpa Ronaldo mereka berjaya mengejutkan Liverpool bagi menamatkan rentetan suram dua kekalahan berturut-turut pada permulaan musim Liga Perdana Inggeris.

Ronaldo hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada minit-minit akhir di Old Trafford tatkala United akhirnya berjaya menggunakan rancangan permainan agresif Ten Hag.

Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Anthony Elanga membentuk rangkaian serangan mantap apabila mempamerkan rentak dan tenaga lebih padu berbeza ketika tumpas 1-2 ketika menentang Brighton serta dimalukan Brentford 0-4.

Tetapi sekurang-kurangnya secara terbuka, Ten Hag bertegas bahawa Ronaldo mempunyai peranan untuk dimainkan dalam rancangannya.

"Saya rasa dia boleh. Sepanjang kariernya, dia melakukannya di bawah beberapa pengurus dengan gaya dan sistem berbeza. Dia selalu membuat persembahan terbaik jadi mengapa dia tidak boleh melakukannya kali ini? Umurnya bukan satu isu.

"Kami mempunyai skuad dan kami mempunyai cara bermain, gaya dan pelan permainan. Anda melihat apakah pendekatan terbaik untuk permainan. Hari ini kami menurunkan pemain-pemain ini dan Sabtu ia mungkin berbeza," kata Ten Hag.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 9:29 PM