Erik ten Hag
Erik ten Hag
Agensi

Machester: Pemain Manchester United bimbang Erik ten Hag kini semakin 'beransur-ansur' mula menerima hakikat yang beliau bakal ditendang di penghujung musim ini.

Ia susulan keengganan pemilik baharu, Jim Ratcliffe menyatakan keyakinannya terhadap pengendali dari Belanda itu.

United berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris menjelang kunjungan Sabtu ini ke Bournemouth, 11 mata di bawah tangga keempat liga selepas hanya menang sekali dalam enam perlawanan.

United seri 1-1 di Brentford dan tewas 4-3 di Chelsea selepas dibolosi pada saat akhir permainan.

Ketika ini, pemain dapat melihat perubahan Ten Hag yang dikatakan seperti tidak mampu lagi mengelak daripada dipecat.

Jumaat lalu dia menegaskan yang dia tidak ragu-ragu lagi untuk terus mengendali United musim depan.

"Saya pasti kami berada di landasan betul dan akan sampai ke kedudukan yang diingini," kata Ten Hag.

Graham Potter bakal mengambil alih tempat Ten Hag selepas mengadakan pertemuan dengan Ratcliffe.

Minggu lalu, bekas pengendali Chelsea itu menolak tawaran untuk membimbing Ajax.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 1:49 PM