FERNANDES (kanan) dilayangkan kad kuning kerana mengasari penjaga gol Real Betis, Claudio Bravo pada aksi Liga Europa, Khamis lalu. FOTO AP
FERNANDES (kanan) dilayangkan kad kuning kerana mengasari penjaga gol Real Betis, Claudio Bravo pada aksi Liga Europa, Khamis lalu. FOTO AP
Reuters

Manchester: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes perlu berusaha mengawal emosi dan menumpukannya ke arah yang tepat, kata pengurus, Erik ten Hag.

Prestasi dan tindakan Fernandes dikritik hebat ketika dimalukan Liverpool 0-7 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, Ahad lalu yang juga kekalahan terbesar United dalam tempoh hampir 100 tahun.

Bagaimanapun, pemain Portugal itu kembali menyerlah pada aksi Liga Europa (UEL) menentang Real Betis, Khamis lalu, apabila menyumbat satu gol dan melakukan bantuan jaringan ketika menang 4-1, sekali gus menyaksikan United pantas bangkit daripada keaiban di Anfield.

"Saya fikir, dia mempamerkan personaliti hebat dengan prestasinya mengetuai pasukan pada Khamis lalu, ia sangat cemerlang," kata Ten Hag menjelang perlawanan EPL dengan pasukan bergelut di zon penyingkiran, Southampton di Old Trafford, malam esok.

"Emosi adalah senjatanya, tetapi ada masanya ia terlalu kuat dan ya, sudah tentu saya membantu, menyokong dan memberikan maklum balas kepadanya. Ada dia perlu berusaha lebih untuk mengawal emosinya.

"Dia perlu mencari keseimbangan mengenai bila mahu menunjukkan aksi sebenar dan bila mahu menggunakan emosi sebagai kelebihannya. Ini adalah langkah berikutnya.

"Ia adalah pembangunan yang menarik untuknya dan jika dia melakukannya, pasti akan menjadi pemain yang lebih baik."

Ten Hag turut memberitahu berita positif mengenai pemain tengah yang cedera, Christian Eriksen, dengan menyatakan dia akan kembali pada musim ini.

Eriksen mengalami kecederaan buku lali pada hujung Januari dan dijangka akan tersisih sehingga Mei depan.

"Saya fikir dia akan bermain, ya sudah tentu," kata Ten Hag.

"Saya tidak boleh beritahu mengenai jangkaan, tetapi saya fikir peningkatannya dalam proses pemulihan adalah OK dan mengikut perancangan.

"Jadi, kami sudah tentu akan melihat dia bermain semula, tetapi tidak sebelum cuti rehat antarabangsa."

United sudah pasti mahu bangkit semula apabila melayan pasukan di tangga ke-19, Southampton di Old Trafford, walaupun Ten Hag berkata, United perlu beraksi cemerlang untuk mencapainya.

"Persaingan dalam kelompok bawahan liga sangat sengit, jadi mereka akan bekerja keras dan agresif serta melakukan apa saja untuk meraih mata," kata pengendali dari Belanda itu.

"Jadi, kami perlu bermain 100 peratus dan memberikan prestasi terbaik untuk menewaskan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 8:58 AM