SANCHO bakal kembali semula ke Dortmund sebagai pemain pinjaman selepas bermasalah di Man United. FOTO AGENSI
SANCHO bakal kembali semula ke Dortmund sebagai pemain pinjaman selepas bermasalah di Man United. FOTO AGENSI
Reuters

London: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata, pemain mesti yakin dengan kemampuan sendiri untuk bermain di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu memandangkan jangkaan tinggi hadir bersama juara 20 kali liga utama England itu.

Mengikut laporan media di Britain, pemain sayap England, Jadon Sancho akan kembali ke Borussia Dortmund secara pinjaman, sekali gus menambah senarai pemain yang dibeli dengan tawaran tinggi, tetapi gagal menyerlah di Old Trafford.

Pemain berusia 23 tahun itu berpindah dari kelab Bundesliga itu ke United dengan harga AS$93 juta (RM432.54 juta) pada Ogos 2021 dengan perjanjian lima tahun, tetapi gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan kemudian terbabit dalam pertelingkahan berkaitan masalah disiplin dengan Ten Hag.

Rakan senegara Ten Hag dari Belanda, Donny van de Beek, 26, turut dipinjamkan ke liga Jerman dengan menyertai Eintracht Frankfurt, awal bulan ini.

Ketika ditanya sama ada kegagalan Van de Beek merebut tempat menjejaskan pemain itu, Ten Hag berkata: "Ia selalu berlaku kepada pemain dan sejauh mana anda memiliki keyakinan terhadap kemampuan sendiri.

"Tetapi, saya boleh beritahu anda satu perkara iaitu EPL memang lasak dan mencabar, di Manchester United pula, memang sukar untuk bermain di sini dan lebih mudah bersama kelab lain kerana tekanan amat tinggi.

"Anda perlu menanganinya. Tetapi, jika anda yakin dengan diri sendiri, ini adalah cabaran terbaik dan kelab terbaik yang anda mahu beraksi sebagai pemain.

"Ia bergantung kepada pemain itu sendiri, ia bergantung kepada karakter dan personaliti pemain."

United yang kini menduduki tangga kelapan liga akan berdepan kelab Liga Satu, Wigan Athletic di pusingan ketiga Piala FA, awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 9:52 PM