AKSI Tchetche (kanan) ketika bertemu Negeri Sembilan Julai lalu. FOTO BERNAMA
AKSI Tchetche (kanan) ketika bertemu Negeri Sembilan Julai lalu. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kemelut permit dan tunggakan gaji babitkan pemain import Kuala Lumpur City (KL City) FC, Kipre Tchetche dianggap hampir selesai dan penyerang dari Ivory Coast itu gembira dengan tindakan pantas pengurusan kelab itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili Tchetche, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid kepada Arena Metro apabila akui pengurusan KL City sudah menjelaskan beberapa bulan tunggakan gaji sebelum ini.

Malah katanya, selepas pendedahan dibuat Arena Metro, pihak pengurusan KL City juga memberikan akujanji untuk menyelesaikan isu permit dengan Tchetche sedang menanti pas khas untuk pulang ke negaranya.

"KL City sudah mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan tuntutan-tuntutan daripada Tchetche dan memberi satu rasa kegembiraannya di mana ada respon positif khususnya daripada Stanley Bernard (Ketua Pegawai Eksekutif KL City).

"Harapan saya supaya semua pemain dapat layanan yang setimpal daripada pihak kelab," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya tindakan ke Fifa, Syed akui pihaknya menangguhkan seketika bagi memberi peluang kepada skuad The City Boys menjelaskan baki tunggakan kepada Tchetche.

"Kita 'hold' dulu tengok adakah mereka akan dapat tunaikan janji-janji. Dia (Tchetche) masih ada di sini (di Kuala Lumpur) menunggu 'special pass' yang diuruskan KL City sebelum dia pulang ke negaranya bagi menguruskan bapanya," katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Tchetche tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu dari September, Oktober dan November sekali gus didakwa punca sebenar dia mahu menamatkan kontrak lebih awal dengan KL City selain masalah permit kerja yang menghantuinya.

Begitupun, selepas laporan itu bekas pemain Terengganu FC terbabit akui di media sosialnya yang dia mahu segera melupakan isu permit dan mahu pulang untuk memberi sepenuh tumpuan kepada keluarganya di mana bapanya ketika ini sedang sakit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 2:21 PM