BARISAN pemain KL City berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO KUALA LUMPUR CITY
BARISAN pemain KL City berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO KUALA LUMPUR CITY
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Label profesional yang dipegang segelintir kelab Liga Malaysia (Liga M) boleh digambarkan hanya indah dari khabar apabila setiap bulan terpaksa mengemis meminta gaji.

Situasi itu dialami pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang beraksi dalam saingan Liga Super, di mana sumber memaklumkan sehingga kini tunggakan gaji dari musim lalu masih sangkut.

Jelas pemain yang enggan namanya disiarkan berkata, rata-rata pemain KL City tertanya-tanya tentang baki tunggakan yang masih belum dijelaskan ketika musim baharu bakal membuka tirainya tiga bulan lagi.

Namun seperkara paling mengecewakan dirinya dan pemain-pemain lain apabila mereka terpaksa meminta-minta atau mendapatkan penjelasan daripada pengurusan pasukan pada setiap bulan seperti seorang pengemis.

"Sedangkan mereka (KL City FC) yang berhutang dengan pemain, tapi kita pula yang kena setiap bulan pergi bertanya mengenai gaji kami.

"Kalau dalam bahasa kasar, kami ini dah macam pengemis pula meminta duit daripada mereka padahal itu hak kami.

"Bila tanya mereka selalu berjanji untuk menyelesaikan tapi sampai sekarang dah nak masuk bulan tiga (Mac) pun tak nampak bayang lagi. Saya pun ada kehidupan sendiri dan ada keluarga untuk di sara.

"Sebelum ini gaji tertunggak empat bulan, tapi selepas dikeluarkan di media pada bulan lalu mereka ada bayar untuk sebulan (bayaran gaji September 2023).

"Tapi selepas itu mereka senyap dan masih lagi tertunggak tiga bulan," katanya kepada Arena Metro.

Menurutnya lagi, tunggakan gaji bukan saja babitkan skuad Liga Super bahkan ia turut dirasai pasukan bawah 23 (B-23) KL City.

"Ada pemain yang sangkut tiga bulan...ada juga empat bulan. Setiap pemain berbeza-beza.

"Pasukan Liga Super mungkin jadi tumpuan pengurusan, tapi mereka juga diingatkan jangan lupa tentang nasib pemain B-23 yang perlukan juga pembelaan sewajarnya. Pemain B-23 pun ada kehidupan dan bukan saja pasukan Liga Super.

"Saya nak minta CEO (Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard) tolonglah ambil cakna mengenai keadaan ini. Kami sudah lama menunggu dan janganlah asyik terus menabur janji," katanya.

Ditanya adakah sudah melaporkan perkara terbabit ke Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), dia menjelaskan satu laporan sudah dibuat namun pemain perlukan langkah lebih drastik dan pantas untuk menyelesaikan isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 12:28 PM