BRENDAN  ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad The City Boys di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
BRENDAN ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad The City Boys di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan akui faktor keluarga adalah sebab utama mengapa dia memilih untuk beraksi bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Katanya, tawaran beraksi di Lembah Klang sememangnya menjadi pilihannya selepas kontraknya tidak disambung Selangor FC.

"Keluarga memainkan peranan penting dalam keputusan saya ini dan untuk terus tinggal di KL adalah sangat penting bagi saya," katanya ketika ditemui pada hari pertama latihan bersama skuad The City Boys, malam tadi.

Semalam, KL City mengumumkan pemain kacukan berdarah Malaysia-Australia itu adalah bintang baharu yang akan memperkuatkan cabaran pasukan juara Piala Malaysia 2021 itu.

Jelas Brendan lagi, keputusan memilih skuad Warga Kota itu turut didorong oleh perancangan baik pengurusan kelab yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Stanley Bernand.

"Sebenarnya ia mengambil masa yang agak singkat untuk memastikan perjanjian ini selesai. Terima kasih kepada Stanley (Bernand), pihak pengurusanmelakukan tugas yang baik dengan membenarkan saya untuk terus tinggal di KL.

"KL City adalah sebuah kelab yang berjaya melayakkan diri ke tiga final berturut-turut. Saya tidak sabar untuk mengenali dengan lebih mendalam rakan sepasukan, jurulatih dan bersedia untuk memberikan yang terbaik buat kelab," katanya.

Untuk rekod, selain muncul juara Piala Malaysia pada 2021, KL City turut bergelar naib juara selepas mara ke pentas final Piala AFC pada 2022 dan Piala FA 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 3:01 PM