TMJ menafikan beliau menginginkan Hodak sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya. -FOTO NSTP
TMJ menafikan beliau menginginkan Hodak sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya. -FOTO NSTP

Oleh Firdaus Hashim

[email protected]

Kuala Lumpur

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan beliau menginginkan Bojan Hodak dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Tunku Ismail yang mengulas kenyataan Hairuddin Omar di laman sosial berkata, beliau tidak berhasrat untuk mencampuri urusan pengurusan skuad kebangsaan yang ketika ini hebat dikritik peminat tempatan.

Ia ekoran kegagalan Malaysia gagal melepasi peringkat Kumpulan B Piala AFF yang berlangsung di Singapura ketika ini.

"Tidak benar! Saya tiada kena mengena dengan pasukan kebangsaan dan tiada pendapat.

"Buat masa ini keutamaan dan tumpuan saya adalah membantu mangsa banjir dan membuat persiapan jikalau Johor banjir. Terima kasih," katanya di Story Instagram miliknya.

Terdahulu, Hairuddin berkongsi di laman sosial satu cerita ketika menghadap Tunku Ismail dan bertanyakan mengenai jurulatih mana yang menjadi pilihannya sekiranya menguruskan skuad kebangsaan.

"Sewaktu dulu, saya pernah borak santai bersama TMJ (Tunku Ismail) ketika diberi ruang untuk menghadap. Ketika itu beliau baru saja gugurkan Bojan Hodak dan Nenad Bacina daripada pasukan JDT ketika menjuarai Liga Super buat pertama kali (2014).

"Saya bertanya siapa yang akan Tunku lantik sekiranya berpeluang untuk menguruskan pasukan negara dan beliau memilih Bojan untuk menjadi ketua jurulatih. Saya tanya mengapa Bojan sedangkan dia dibuang dari staf kejurulatihan JDT?

"Beliau jawab di JDT mereka ada 'Philosophy of play' dan corak permainan Bojan tidak sesuai dengan filosofi yang diterapkan. Tetapi untuk pasukan negara, beliau merasakan Bojan lebih sesuai kerana ada beberapa perkara pada pandangan beliau yang pasukan negara akan berjaya dan berkembang di bawah kendalian Bojan.

"Antara perkara yang dimaksudkan ialah Bojan sudah kenal dan tahu kualiti pemain tempatan kita. Bojan juga sudah tahu kualiti pasukan negara-negara serantau. Bojan juga sudah faham budaya sosial Malaysia dan Bojan sudah mengetahui bagaimana untuk bermain dan meraih kemenangan menentang pasukan serantau," kata Hairuddin.

Untuk rekod, Hodak baru saja menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia buat pasukan Kuala Lumpur City FC selepas menewaskan JDT 2-0 di final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 1:22 PM