BOJAN akui bukan satu idea yang bagus untuk bermain secara terbuka. FOTO GHAZALI KORI
BOJAN akui bukan satu idea yang bagus untuk bermain secara terbuka. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menjelang aksi final Piala FA pada 22 Julai ini, Kuala Lumpur City FC (KL City) tampaknya sudah mempunyai formula untuk menjerat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kemuncak itu nanti.

Corak permainan bertahan yang diselang-seli dengan serangan balas antara strategi KL City untuk mengejutkan JDT di pentas final itu nanti.

Malah, formula itu sebenarnya bukanlah asing buat skuad The City Boys yang sebelum ini pernah menggunakan pendekatan sama ke atas skuad Harimau Selatan itu pada final Piala Malaysia 2021 lalu yang menyaksikan KL City mengejutkan JDT dengan 2-0.

Jelas pengendali KL City, Bojan Hodak, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kaedah sama ketika menundukkan JDT di final Piala Malaysia sebelum ini.

"Jika anda bermain menentang pasukan yang dibarisi ramai pemain terbaik negara ini, maka bukan satu idea yang bagus untuk bermain secara terbuka," katanya.

"Jadi, sudah tentu kita perlu cari cara untuk halang penyerang mereka terlebih dahulu sebelum mencari ruang untuk melancarkan serangan balas.

"Di Malaysia, hanya pasukan kebangsaan Malaysia saja yang boleh bermain secara terbuka menentang JDT (FC)," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.

Terdahulu, KL City mara ke final Piala FA selepas menundukkan Terengganu FC menerusi sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Ini adalah pentas final kelima Piala FA buat KL City selepas muncul juara tiga kali pada 1993, 1994 dan 1999, sementara pada musim 1992 sekadar berpuas hati selaku naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 1:50 PM