YOUCEF Atal.  FOTO AFP
YOUCEF Atal. FOTO AFP
AFP

Nice: Polis Perancis menahan pemain antarabangsa Algeria, Youcef Atal, yang beraksi untuk kelab bola sepak Ligue 1, Nice, bagi membantu siasatan berhubung 'justifikasi keganasan' selepas dia memuat naik mengenai perang Israel-Hamas di media sosialnya, kata pendakwa raya.

Bulan lalu, pemain pertahanan berusia 27 tahun itu digantung tujuh perlawanan susulan tindakannya itu, yang kemudian dipadamkan olehnya sebelum mengemukakan permohonan maaf.

Pendakwa raya di Nice membuka kertas siasatan berikutan permintaan daripada pihak berkuasa tempatan dan datuk bandar Nice.

Penahanan itu bermakna Atal kini boleh disoal siasat oleh polis dalam tahanan dan didakwa, atau dibebaskan tanpa sebarang tindakan selanjutnya diambil, sebaik sahaja tempoh tahanannya tamat.

Atal sudah pun digantung oleh kelabnya 'sehingga diberitahu kelak'.

Walaupun pemain itu memohon maaf, Nice berkata mereka memutuskan untuk "mengambil tindakan segera" sebelum sebarang penggantungan mungkin diambil oleh badan sukan atau kehakiman.

Pada pertengahan Oktober, pendakwa raya Nice mengumumkan siasatan kes itu dimulakan atas alasan 'justifikasi keganasan'.

Atal dikritik kerana berkongsi video daripada pendakwah Palestin di Instagram, yang menyeru menentang keganasan terhadap orang Yahudi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 9:07 PM