PATRICIA menaiki kereta ketika hadir untuk perbicaraannya di sebuah mahkamah di Nice, Perancis pada kelmarin. FOTO AFP
PATRICIA menaiki kereta ketika hadir untuk perbicaraannya di sebuah mahkamah di Nice, Perancis pada kelmarin. FOTO AFP
AFP

Nice: Seorang wanita digelar ‘Black Widow Riviera’ dipenjara 22 tahun kelmarin kerana meracun empat lelaki kaya untuk mendapatkan harta dengan menyebabkan dua daripadanya mati.

Patricia Dagorn, 57, didapati bersalah membunuh dua kekasihnya pada 2011 tetapi gagal melakukan cubaan sama terhadap dua lelaki lain.

Menurut pendakwa raya, dia cuba membolot harta dengan menggoda lelaki berusia yang kebanyakan dikenali melalui agensi mencari jodoh.

Dia yang menafikan semua tuduhan langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dijatuhkan.

Patricia sudah menjalani hukuman penjara lima tahun kerana mencuri, menipu dan membolot harta seorang lelaki berusia pada 2012, yang bersetuju membenarkannya tinggal bersama sebagai pertukaran untuk hubungan seksual.

Seorang mangsa yang diracun, Robert Vaux, 91, memberitahu wartawan di mahkamah bahawa Patricia seorang yang ceria.

“Apabila bersama seorang wanita yang lebih muda, anda tahu ia tidak akan bertahan lama tetapi detik indah bersamanya tidak dapat dinafikan,” katanya.

Polis mula menyiasat mengenainya selepas mayat Michel Kneffel, lelaki berusia 60-an yang tinggal bersamanya di Nice ditemui pada Julai 2011.

Tiada dakwaan difailkan ketika itu, tetapi siasatan dibuka semula pada tahun berikutnya selepas polis menemui botol Valium dan dokumen peribadi milik kira-kira 12 lelaki berbeza dalam barangan kepunyaan Patricia.

Penyiasat kemudian mengikuti jejak satu kes bunuh, Francesco Filippone, 85, yang mayatnya ditemui hampir reput di dalam tab mandi di Mouans-Sartoux pada Februari 2011.

Dalam siasatan itu, Patricia didapati menunaikan sekeping cek dari Filippone bernilai 21,000 euro (RM101,000).

Menurut wanita itu, wang berkenaan adalah hadiah untuk membantunya membuka kedai barangan kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 4:59 AM