YOUCEF Atal. FOTO AFP
YOUCEF Atal. FOTO AFP
AFP

Nice: Pendakwa raya Perancis melancarkan siasatan awal terhadap pemain bola sepak terkemuka kerana disyaki 'mengagungkan keganasan' selepas berkongsi semula hantaran yang didakwa anti-Semitik di media sosial berkaitan konflik Israel-Hamas.

Youcef Atal, pemain antarabangsa Algeria yang beraksi untuk kelab Ligue 1, Nice, disyaki berkongsi video mengenai pendakwah Palestin di Instagram yang menyeru menentang keganasan terhadap orang Yahudi.

Pegawai bola sepak, ahli politik, kumpulan Yahudi dan datuk bandar Nice kesemuanya mengecam mesej itu, yang dipadamkan Atal sebelum meminta maaf.

AFP tidak dapat mengesahkan isi kandungan asal hantaran berkenaan.

Perancis, yang mempunyai populasi Yahudi dan Islam yang ramai, meningkatkan keselamatan selepas Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Pihak berkuasa melakukan kawalan ketat bagi menangani kemungkinan berlaku serangan selepas seorang guru ditikam sehingga mati pada Jumaat lalu oleh bekas muridnya dalam apa yang dikatakan ahli politik sebagai keganasan Islam.

Pejabat pendakwa raya Nice mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa pihaknya sedang menyiasat Atal di bawah undang-undang yang merangkumi 'peningkatan keganasan' selepas dimaklumkan oleh ahli politik tempatan.

Pendakwa raya berkata polis juga akan menilai sama ada hantaran di media sosial itu mempunyai unsur menghasut kebencian agama atau keganasan.

Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) pada Ahad lalu berkata, jawatankuasa etika badan induk itu akan menyiasat pemain berkenaan manakala Presiden FFF, Philippe Diallo mengecam kandungan hantaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 10:07 AM