PEMAIN Itali meraikan kejayaan mereka layak ke Euro 2024. FOTO AFP
PEMAIN Itali meraikan kejayaan mereka layak ke Euro 2024. FOTO AFP
AFP

Leverkusen: Pemain tengah Itali, Davide Frattesi berkata, mereka selaku penyandang juara akan cuba dan 'mengulangi sesuatu yang luar biasa' di Jerman tahun depan selepas mencatat keputusan seri 0-0 dengan Ukraine di Leverkusen bagi melayakkan diri ke Euro.

Keputusan itu bermakna Itali, yang gagal layak ke Piala Dunia 2018 dan 2022, berjaya mengelak episod memalukan.

Kedua-dua negara menamatkan saingan dengan mengumpul 14 mata di belakang England dalam Kumpulan C, tetapi Itali bersandarkan rekod pertemuan sebelum ini apabila mereka menang 2-1 di Milan September lalu.

"Kami tahu jika kami tidak dapat memecahkan kebuntuan selepas sejam aksi, ia akan menjadi sangat sukar. Ukraine kemudian menjadikannya perlawanan yang lebih bercorak fizikal," kata Frattesi kepada RAI Sport.

"Kami berada di bawah tekanan, tetapi secara keseluruhan ia adalah persembahan yang baik. Apa yang penting ialah kami layak.

"Kami menderita, tetapi ia penting untuk melaluinya. Sekarang kami akan cuba mengulangi sesuatu yang hebat."

Keputusan muktamad tidak membayangkan aksi sebenar di atas padang, dengan Itali melakukan serangan bertali-arus dan Ukraine pula mengancam dari segi serangan balas pantas untuk membolehkan kedua-dua pasukan mencipta peluang menjaringkan gol.

Rayuan Ukraine untuk meminta penalti di lewat perlawanan pula ditolak, walaupun pemain tengah Itali, Bryan Cristante melakukan sentuhan ke atas Mykhailo Mudryk pada masa kecederaan.

"Dari sudut pandangan saya, itu adalah penalti, tetapi sekali lagi saya tidak berada di sana dan ia hanya mengenai emosi saya," kata jurulatih Ukraine Serhiy Rebrov pada sidang media selepas perlawanan.

Itali berkunjung ke Leverkusen dengan menyedari mereka mampu melayakkan diri jika berjaya mengelak daripada mencatat kekalahan, manakala Ukraine tahu hanya kemenangan sudah memadai buat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 9:35 AM