PENYOKONG TFC yang berang dengan sikap membisu MFL mengenai tarikh dan venue final Piala FA memasang kain rentang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak. FOTO Facebook Terengganu 11
PENYOKONG TFC yang berang dengan sikap membisu MFL mengenai tarikh dan venue final Piala FA memasang kain rentang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak. FOTO Facebook Terengganu 11
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Bila lagi lagi MFL (Liga Bolasepak Malaysia) nak umum tarikh dan stadium final Piala FA?

"Usah buat kami tertunggu-tunggu kerana kami perlu lakukan persiapan awal termasuk tempahan bas, penginapan dan juga permohonan cuti, sepatutnya tarikh final diumumkan lebih awal lagi.

"Tapi sehingga kini belum ada bayangan tarikh dan venue perlawanan walaupun sebelum ini pengelola liga bola sepak itu memaklumkan akan umumkan pada Selasa minggu lalu," kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC (TFC), Mohd Isa Che Ariffin.

Beliau berkata demikian selepas berang dengan sikap MFL yang masih 'membisu' mengenai tarikh final Piala FA membabitkan pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Sebenarnya kami juga rasa pelik dan tertanya-tanya kenapa sehingga kini tarikh dan venue perlawanan belum diumumkan lagi, sepatutnya jadual perlawanan dan venue sudah diumumkan paling lewatpun sebelum aksi separuh akhir baru-baru ini.

"Jadi dengan situasi terkini tanpa sebarang perkembangan, persediaan kami sedikit terganggu untuk ke final kerana tarikh belum diumumkan lagi.

"Kami harap MFL dapat memberikan jawapan segera mengenai tarikh dan venue perlawanan supaya tidak menganggu persiapan kami lebih-lebih lagi selepas 11 tahun menanti untuk melihat aksi pemain TFC pada pentas final," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya mengenai cadangan dan venue perlawanan, Mohd Isa meletakkan harapan yang tinggi agar MFL memilih Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang aksi final kerana stadium berkenaan boleh memuatkan lebih ramai penonton berbanding stadium lain.

"Manakala tarikh cadangan kami pula pada 27 Ogos ini selain memohon pihak MFL mengekalkan harga tiket RM50 bagi tempat duduk biasa sebagaimana sebelum ini kerana kos kami sudah pasti tinggi untuk sampai ke Kuala Lumpur memandangkan kami jauh," katanya.

Pandangan sama juga turut diluahkan peminat setia TFC, Asrul Azam Jusoh, 39, yang mengharapkan MFL dapat umum segera tarikh dan venue perlawanan final itu.

"Usah buat kami ternanti-nanti kerana banyak persiapan perlu dibuat termasuk penginapan, tempahan bas dan lain-lain selain tiket perlawanan lebih-lebih lagi selepas 11 tahun TFC menunggu untuk mara ke final merebut trofi itu," katanya.

Terdahulu pada aksi Liga Super membabitkan pertemuan TFC menentang Sarawak United FC, Sabtu lalu, penyokong setia skuad Penyu memasang kain rentang dengan tulisan: "MFL ada tarikh final dok lagi tu...? Kita tanya jerr."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:08 PM