HAMIDIN  (tengah) pada sidang media selepas mesyuarat khas berhubung Covid-19 di Wisma FAM, Kelana Jaya.
HAMIDIN (tengah) pada sidang media selepas mesyuarat khas berhubung Covid-19 di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Malik Muhamad


KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu FC (TFC) menyifatkan langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan semua aksi Liga-M 2020 ditangguhkan bermula esok susulan kebimbangan penularan wabak koronavirus(Covid-19) adalah tindakan tepat dan pantas.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Arifin berkata, ketegasan dan kepantasan badan induk bola sepak negara turut tidak membenarkan peminat memasuki stadium membabitkan perlawanan kelmarin hingga hari ini juga harus dilihat secara positif.

“Tindakan pantas FAM dan MFL dalam menangani penularan wabak itu harus dipuji dan perlu dilihat daripada sudut positif bukannya negatif demi keselamatan dan kesihatan semua peminat dan juga pemain.

“Bagi saya langkah berkenaan adalah wajar sebagai pencegahan awal disebabkan penularan Covid-19 yang melanda negara sekarang ini yang kian meningkat.

“Justeru lebih baik orang ramai khususnya peminat setia bola sepak tidak berada di kawasan tumpuan orang ramai termasuk stadium bagi mengelak jangkitan virus itu, beringat sebelum kena,” ujar Mohd Isa.

Jumaat lalu dalam mesyuarat khas, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan semua aksi Liga-M yang turut membabitkan semua pertandingan anjuran FAM dan MFL termasuk Piala Presiden, Piala Belia, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dan saingan M3 serta M4 ditangguhkan bermula Isnin.

Beliau turut menegaskan semua aksi Liga Super dan Liga Perdana yang dijadualkan pada Jumaat lalu hingga hari ini berlangsung tanpa kehadiran penyokong termasuk pihak media.

Kelmarin, pertemuan Terengganu FC II (TFC II) menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu berlangsung tanpa kehadiran peminat setia kedua-dua pasukan.

Sementara itu, pengurus Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahya menyambut baik keputusan FAM dan MFL berhubung pengumuman itu yang disifatkan peka demi menjaga kebajikan pemain, pasukan dan juga peminat setia pasukan masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 12:41 PM