AKSI pertembungan England menentang Malta dalam kempen kelayakan Kumpulan C. FOTO Reuters
AKSI pertembungan England menentang Malta dalam kempen kelayakan Kumpulan C. FOTO Reuters
AFP

London: Harry Kane menjaringkan gol ke-62nya untuk memberikan skuad bimbingan Gareth Southgate yang tampil kurang menyengat itu meraih kemenangan 2-0 mengatasi menentang Malta dalam perlawanan kelayakan Euro 2024.

England sudah pun layak ke Kejohanan Eropah biarpun baki dua perlawanan namun berusaha untuk menjadi pasukan pilihan utama di Jerman dengan memenangi Kumpulan C penuh bergaya.

Hanya lima negara berprestasi terbaik sepanjang kempen kelayakan akan menjadi pilihan utama dalam undian Euro bulan depan.

England kini mempunyai rekod enam kemenangan dan satu seri dalam kumpulan selepas gol sendiri awal Enrico Pepe dan jaringan separuh masa kedua Kane melengkapkan pertemuan membosankan di Wembley.

Kemenangan dalam perlawanan kelayakan terakhir mereka di Macedonia Utara Isnin ini akan mencapai sasaran untuk muncul selaku pilihan utama England dengan satu mata mungkin cukup bergantung kepada keputusan lain.

Mengambil kira Malta menghuni ranking ke-171 dunia ia adalah persembahan paling tidak memberangsangkan England pada kempen kelayakan.

"Jika anda tidak memulakan perlawanan dengan baik, amat sukar untuk bangkit dan kami tidak melakukannya. Kami tahu tahap yang mana kami patut lebih bagus," kata Southgate.

"Tidak cukup kualiti bersama bola dan tidak banyak peluang dicipta. Kami tidak berada di tahap terbaik yang pernah kami pamerkan tahun ini.

"Kami mempunyai ramai pemain yang tidak berfungsi malam ini. Jumlah perlawanan yang mereka harungi, ia hampir memakan diri.

"Ada beberapa perkara positif, tetapi kami sedar kami tidak berada di tahap yang dimahukan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 8:24 AM