KANE (kiri) menerima kasut emas sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman England. FOTO AP
KANE (kiri) menerima kasut emas sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman England. FOTO AP
Reuters

London: Harry Kane mengukuhkan kedudukan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman England dengan satu gol ketika menang 2-0 ke atas Ukraine di Wembley, awal pagi hari ini.

Bukayo Saka turut menampilkan kehebatannya hasil umpanan kepada Kane dan menjaringkan gol kedua, sekali gus meletakkan anak buah Gareth Southgate di tangga teratas Kumpulan C pada kempen kelayakan Euro 2024.

Masih segar selepas menjaringkan gol ke-54 ketika menang 2-1 di Itali, Khamis lalu, Kane menjaringkan gol pada minit ke-37 walaupun sebelum itu terlepas beberapa peluang terbaik.

Bintang muda Arsenal, Saka kemudian menggandakan kedudukan sebelum rehat menerusi sepakan melencong dan menyebabkan 4,000 penyokong pelawat terdiam.

"Memang penting untuk meneruskan rentak cemerlang selepas menang ke atas Itali," kata Southgate, yang memberi penampilan pertama dalam kesebelasan utama buat perancang Leicester City, James Maddison.

"Bagaimanapun, masih banyak ruang yang perlu dipertingkatkan lagi."

Ukraine turut menguasai perlawanan dan menikmati tekanan selepas rehat, tetapi dilihat tidak mampu untuk merangkul kemenangan kedua ke atas England dalam 10 pertemuan.

Penyerang Brentford, Ivan Toney turut membuat penampilan antarabangsa pertama apabila dimasukkan pada 10 minit terakhir untuk menggantikan Kane.

England yang mara ke suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 kini mengumpul enam mata daripada dua perlawanan pembukaan dan dilihat pilihan utama untuk menjuarai kumpulan yang turut membabitkan Malta dan Macedonia Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 8:23 AM