KANE meraikan jaringannya ketika menentang Denmark. FOTO Reuters
KANE meraikan jaringannya ketika menentang Denmark. FOTO Reuters
Reuters

Frankfurt, Jerman: England berkemampuan beraksi pada tahap lebih tinggi, kata pengurus Gareth Southgate selepas pasukannya gagal menyerlah dalam dua perlawanan Euro 2024 setakat ini.

Skuad Southgate seri 1-1 dengan Denmark pada awal pagi tadi dan hanya menang 1-0 ke atas Serbia dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

Jaringan Harry Kane pada babak pertama meletakkan naib juara 2020 itu depan tetapi rembatan jarak jauh pemain Denmark Morten Hjulmand menyamakan kedudukan.

"Jelas sekali, kami kecewa dengan tahap prestasi kami setakat ini. Kami perlu menganalisis dan mencari penyelesaian dengan segera," kata Southgate ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

"Kami tahu tahap permainan kami sepatutnya lebih tinggi tetapi gagal menepati jangkaan. Apa pun, ia tanggungjawab saya. Saya pengurus dan saya perlu membawa pasukan dengan cara terbaik untuk meraih kejayaan."

England tidak pernah menang dua aksi pertama peringkat kumpulan Kejohanan Eropah dan turut mempunyai empat mata daripada dua perlawanan awal di Euro 2020 yang menyaksikan mereka mara ke final.

England mendahului Kumpulan C dengan empat mata, mengatasi Denmark (dua mata) dan masih boleh mara ke peringkat kalah mati.

Mereka akan menentang Slovenia pada awal pagi Rabu manakala Denmark berdepan Serbia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 8:25 AM