EVERTON kini di zon penyingkiran. FOTO REUTERS
EVERTON kini di zon penyingkiran. FOTO REUTERS
AFP

London: Everton ditolak 10 mata selepas didapati bersalah melanggar peraturan kewangan Liga Perdana sekali gus meletakkan kelab itu di zon penyingkiran.

Hukuman itu, yang terbesar dalam sejarah Liga Perdana, meletakkan kelab Goodison Park itu di tangga ke-19 dalam carta dengan hanya empat mata selepas 12 perlawanan.

Everton yang "terkejut dan kecewa dengan keputusan itu", mengumumkan hasrat untuk mengemukakan rayuan.

Liga Perdana merujuk kelab itu, yang mencatatkan kerugian selama lima tahun berturut-turut, kepada suruhanjaya bebas pada Mac lalu atas dakwaan melanggar peraturan keuntungan dan kemapanan (PSR).

Kelab dibenarkan untuk menanggung kerugian maksimum £105 juta (RM610.9 juta) dalam tempoh tiga tahun atau berdepan sekatan.

Liga Perdana berkata dalam satu kenyataan: "Kelab mengakui melanggar PSR untuk tempoh berakhir musim 2021/22 tetapi tahap pelanggaran itu masih dipertikaikan.

"Susulan perbicaraan lima hari bulan lalu, suruhanjaya itu memutuskan bahawa pengiraan PSR Everton FC untuk tempoh yang berkaitan mengakibatkan kerugian sebanyak £124.5 juta (RM724.3 juta) sekali gus melebihi kerugian maksimum £105 juta yang dibenarkan di bawah PSR.

"Suruhanjaya membuat kesimpulan bahawa sekatan sukan dalam bentuk potongan 10 mata perlu dikenakan. Sekatan ini berkuat kuasa serta-merta."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:18 PM