PEMAIN Everton (jersi biru) berbalah dengan pemain Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin. FOTO AFP
PEMAIN Everton (jersi biru) berbalah dengan pemain Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Liga Perdana merujuk Everton dan Nottingham Forest kepada suruhanjaya bebas selepas kedua-dua kelab itu mengaku melanggar peraturan berkaitan kewangan.

Dakwaan pelanggaran peraturan keuntungan dan keupayaan liga itu berkaitan dengan musim 2022-23, sekali gus menyebabkan kedua-dua kelab itu berdepan hukuman pemotongan mata.

Memandangkan Everton dan Forest kini berjuang di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL), status mereka dalam liga utama itu kini dalam keraguan.

Everton sebelum ini sudah dipotong 10 mata, musim ini kerana melepasi ambang kerugian yang dibenarkan bagi musim 2021/22.

Kelab Merseyside itu merayu terhadap hukuman berkenaan, yang dianggap pemotongan mata terbesar dalam sejarah EPL.

"Everton FC dan Nottingham Forest FC mengesahkan kepada Liga Perdana bahawa mereka melanggar peraturan berkaitan keuntungan dan keupayaan (PSR)," kata Liga Perdana dalam satu kenyataan.

"Ia susulan penilaian yang dibuat ke atas laporan kewangan dan kerugian yang berakhir bagi musim 2022-23.

"Berdasarkan peraturan Liga Perdana, kedua-dua kes dirujuk kepada Panel Kehakiman yang akan melantik suruhanjaya bebas untuk menentukan jenis hukuman."

Everton kini menduduki tangga ke-17 liga, satu mata di atas Luton, manakala Forest berada di tangga ke-15 dengan empat mata di atas zon penyingkiran.

Pengumuman terbaru ini boleh menjadi tamparan hebat buat mereka di EPL, jika dikenakan pemotongan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 8:14 AM