DIAZ (tengah) bersama rakan pasukan meraikan gol kemenangan Colombia mengatasi Brazil. -FOTO AFP
DIAZ (tengah) bersama rakan pasukan meraikan gol kemenangan Colombia mengatasi Brazil. -FOTO AFP
NUNEZ meraikan kejayaan meledak gol kedua Uruguay. -FOTO AFP
NUNEZ meraikan kejayaan meledak gol kedua Uruguay. -FOTO AFP
AFP

Montevideo: Uruguay menamatkan rentetan 14 perlawanan tanpa kalah Argentina dengan kemenangan 2-0 ke atas juara dunia itu dalam kempen kelayakan Piala Dunia ketika Luis Diaz menjaringkan dua gol untuk membantu Colombia menang 2-1 ke atas Brazil dalam perlawanan penuh emosi.

Pemain pertahanan Ronald Araujo meletakkan Uruguay di depan pada minit ke-41 sebelum penyerang Liverpool Darwin Nunez memastikan kemenangan mutlak menerusi gol minit ke-87 dalam pertembungan sengit di Stadium Bombonera di Buenos Aires.

Ia adalah kekalahan pertama Lionel Messi dan Argentina dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dan kekalahan pertama mereka sejak dikejutkan 1-2 oleh Arab Saudi pada pusingan akhir 2022 di Qatar.

Argentina yang memenangi kesemua empat perlawanan kelayakan pembukaan mereka, bagaimanapun masih kekal di tangga teratas dengan 12 mata daripada lima perlawanan.

Manakala kemenangan Uruguay meletakkan mereka di tempat kedua dengan 10 mata.​

Dalam satu lagi aksi kelayakan Amerika Selatan, rakan sepasukan Nunez di Liverpool, Diaz menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit untuk menyaksikan Colombia bangkit daripada ketinggalan seterusnya mengejutkan Brazil 2-1 di Barranquilla.

Dua gol dramatik jaringan Diaz menyempurnakan bulan penuh liku buat penyerang itu selepas bapanya dijadikan tebusan oleh gerila Colombia pada akhir Oktober sebelum dibebaskan minggu lalu.

Bapa Diaz, Luis Manuel Diaz, hadir menyaksikan perlawanan dari tempat duduk sambil menangis ketika anaknya menjaringkan gol pada minit ke-75 dan ke-79 untuk membantu Colombia melakar kemenangan penting.

Dua gol Diaz pada separuh masa kedua membatalkan gol pembukaan Brazil yang dihasilkan oleh penyerang Arsenal, Gabriel Martinelli hanya selepas empat minit beraksi.

Keputusan itu cukup mengecewakan Brazil ditambah lagi dengan kecederaan pemain bintang Real Madrid, Vinicius Jr memegang paha kirinya selepas 27 minit beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:44 AM