KIM Pan-gon. -FOTO NSTP
KIM Pan-gon. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon melihat sasaran untuk mengutip sekurang-kurangnya 12 mata pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 mampu dicapai berdasarkan kepada komitmen dan semangat juang pemain pasukan kebangsaan.

Pan-gon berkata kutipan mata itu cukup realistik sekali gus menuntut pemain memberikan fokus terlebih dahulu pada satu perlawanan ke satu perlawanan.

Menurut Pan-gon, tumpuan utama adalah untuk memulakan aksi pertama Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini dengan langkah kanan.

"Kita ada enam perlawanan penting pada peringkat kumpulan dan semuanya cukup penting. Sasaran pasukan adalah untuk mengutip tiga mata pada setiap perlawanan.

"Mungkin ketika bertemu Oman kita boleh cipta kejutan dan siapa tahu kita boleh mendapat enam mata maksimum sewaktu menentang Taiwan. Namun, cukup penting untuk kita melakar keputusan positif dahulu bertemu Kyrgyzstan.

"Jika ditanya mengenai kutipan mata keseluruhan untuk layak, saya rasa 12 mata keseluruhan daripada enam perlawanan cukup bagus tetapi lebih manis andai mengutip 13 mata," katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, sebentar tadi.

Selain itu, pengendali berusia 54 tahun itu meminta penyokong Harimau Malaya membanjiri stadium bagi memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan untuk memenangi perlawanan pertama kelayakan itu.

"Pemain ke-12 diharap boleh memenuhi stadium kerana sokongan anda sudah pasti membantu pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 1:19 PM