HAMIDIN harap Harimau Malaya dapat memulakan kempen kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan positif. FOTO Bernama
HAMIDIN harap Harimau Malaya dapat memulakan kempen kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan positif. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Petaling Jaya: Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula Khamis ini adalah next level bagi skuad Harimau Malaya dalam meneruskan kelangsungan bola sepak pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perlawanan kelayakan terbabit begitu penting bagi memastikan pasukan kebangsaan mampu bersaing dengan lawan yang berada di ranking lebih baik.

Beliau berkata, semua enam perlawanan peringkat Kumpulan D menentang Kyrgyzstan, Taiwan dan Oman boleh dianggap misi hidup mati pasukan andai mahu layak ke kelayakan terakhir Piala Dunia 2026.

Katanya, sasaran yang diletakkan kali ini adalah untuk muncul dua pasukan terbaik di peringkat kumpulan dan fokus sudah pasti memastikan Harimau Malaya dapat raih mata maksimum pada dua aksi kelayakan bulan ini.

"Secara peribadi, saya harap kita dapat memulakan kempen kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan positif kerana ini adalah saingan yang lebih penting berbanding Piala Asia 2023.

"Memang betul kita sudah tamatkan kemarau layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun tetapi saingan di sana lebih kepada meraih pengalaman selain mengutip mata ranking.

"Namun, aksi kelayakan lebih mustahak kerana kita berpeluang mara ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke pentas Piala Asia 2027.

"Pada kelayakan itu, kita bakal meraih 10 perlawanan berkualiti dengan menentang pasukan hebat Asia seperti Australia, Jepun, Iran atau Korea Selatan.

"Andai situasi berbeza, mungkin kita akan kekal bersaing dengan pasukan-pasukan yang sederhana seperti Laos, Myanmar serta Timor Leste yang mungkin tidak memberi perkembangan positif buat skuad kebangsaan," katanya pada sidang media khas, di sini, sebentar tadi.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya tidak pernah layak ke pentas kelayakan terakhir Piala Dunia zon Asia dalam sejarah selepas terkandas pada percubaan sebelum edisi 2022.

Pada aksi kelayakan terakhir, 18 pasukan terbaik kelayakan kedua bakal bersaing merebut lapan slot untuk layak ke peringkat Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Sementara itu, Hamidin meminta penyokong Harimau Malaya memenuhi stadium pada perlawanan pertama kelayakan kedua menentang Kyrgyztan dalam usaha meraih tiga mata penting untuk pasukan kebangsaan.

"Saya mahu penyokong tahun bahawa perlawanan kelayakan sama penting dengan saingan Piala Asia sekali gus mengharapkan pemain ke 12 memenuhi stadium," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 5:48 PM