HAMIDIN ketika sidang media kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. FOTO Bernama
HAMIDIN ketika sidang media kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya akan cuba mara sejauh mungkin dengan mengerah kudrat ke tahap maksimum dalam usaha memastikan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Malah jika 'untung sabut' apabila skuad Harimau Malaya berjaya mencipta keputusan positif sepanjang tempoh perlawanan kelayakan itu, kemungkinan untuk beraksi di pentas Piala Dunia turut boleh menjadi kenyataan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin melihat skuad negara mempunyai sinar di hujung terowong selepas diundi dalam kumpulan yang dianggap tidak terlalu sukar pada kelayakan kali ini membabitkan Kyrgyzstan, Taiwan dan Oman.

Hamidin berkata, beliau optimis skuad bimbingan Kim Pan-gon itu mampu melepasi liku pusingan kedua kelayakan kali ini berbekalkan semangat dan kerja keras yang perlu ditunjukkan setiap pemain dalam enam perlawanan bakal dihadapi.

"Selepas undian, saya nyatakan kepada pemain bahawa kita bukanlah dalam kumpulan yang senang, tetapi undiannya boleh tahan.

"Jadi kita boleh beri cabaran berbanding kalau kita tengok kumpulan yang lain.

"Kalau kita mempersiapkan pasukan betul-betul, kita boleh pergi (ke pusingan seterusnya), tetapi semua pihak perlu main peranan.

"Ada perbezaan antara pusingan kelayakan sebelum ini apabila kita bermain secara karnival dan dengan isu Covid-19.

"Ini detik penentu kerana kita akan bermain di laman sendiri dan tempat lawan. Kalau tanya saya, saya 55 peratus yakin, tetapi dengan keyakinan itu, kita kena buat kerja juga.

"Semua pemain faham dan kita kena berusaha. Bukan nak katakan yang kita berkeyakinan tinggi, tetapi pasukan ini boleh 'makan' Kyrgyzstan dan Taiwan, kalau Oman, kita 50/50 di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana Oman pun lebih kurang Jordan," katanya.

Terdahulu, Hamidin memberitahu perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula Khamis ini adalah tahap berikutnya bagi skuad Harimau Malaya dalam meneruskan kelangsungan bola sepak pada masa akan datang.

Beliau mengakui aksi berdepan Kyrgyzstan, Taiwan dan Oman boleh menjadi medan ujian terbaik buat skuad bimbingan Pan-gon untuk 'menyentuh' taraf Asia.

Namun, Hamidin menjelaskan ini bukan bermakna saingan Piala Asia 2023 tidak penting buat pemain, tetapi aksi kelayakan mustahak memandangkan ia memberi banyak kelebihan buat skuad negara.

Malaysia membuka tirai saingan Kumpulan D menentang Kyrgyzstan yang menduduki ranking ke-97 dunia, malam esok sebelum bertandang ke Taiwan (ranking ke-152) pada 21 November.

Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia yang berkedudukan ke-137, dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia, Oman di tempat lawan dan sendiri tahun pada 21 dan 26 Mac tahun depan, bertemu Kyrgyzstan di Bishkek (6 Jun) dan Taiwan (11 Jun) di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 6:22 PM