KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam. FOTO BERNAMA
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Petaling Jaya: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya skuad kebangsaan memerlukan masa tambahan untuk persiapan menghadapi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memudahkan perancangan skuad Harimau Malaya dengan menyediakan tempoh panggilan awal untuk pemain menyertai skuad kebangsaan ketika liga berlangsung.

"Kita kebiasaannya mempunyai amalan memberikan masa tambahan tujuh hingga sembilan hari kepada pasukan kebangsaan.

"Jadi kita harap dapat membantu pasukan negara seperti sebelum ini.

"Saya rasa kita antara negara yang memberikan masa tambahan (bagi persiapan) pasukan kebangsaan," katanya.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon bakal berdepan dua perlawanan penting peringkat Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek (6 Jun) dan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil (11 Jun).

Memandangkan Kalendar Perlawanan Antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dijadualkan dari 3 hingga 11 Jun, Pan-gon hanya boleh memanggil pemain untuk menyertai skuad kebangsaan bermula 27 Mei.

Ia susulan aksi Liga Super yang dijadual pada 24 hingga 26 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 8:40 PM