PAN-gon (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan Harimau Malaya. FOTO ARKIB NSTP
PAN-gon (dua dari kanan) memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan Harimau Malaya. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Misi layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi adalah petunjuk prestasi utama (KPI) diletakkan di bahu pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bermula November ini.

Sasaran itu diletakkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu skuad negara mengekalkan konsistensi layak ke Piala Asia berturut-turut selepas bertanding di pentas sama di Qatar bagi edisi 2023, Januari depan.

Jelas Hamidin, biarpun kelayakan pada November nanti turut menyediakan slot ke Piala Dunia 2026, beliau mahu semua pihak berpihak di bumi nyata, dengan Malaysia perlu terlebih dulu menguasai saingan di benua ini iaitu layak secara konsisten ke Piala Asia.

"Biar kita pergi dulu ke Piala Asia. Kita kena berpijak di bumi nyata, yang penting kita kena konsisten untuk layak ke Piala Asia.

"Selepas layak ke kelompok 18 terbaik, kita akan berada di kelompok lapan terbaik (layak pusingan ketiga Piala Dunia 2026). Tapi baik kita fokus yang ini dulu (layak ke Piala Asia)," katanya.

Pada Jun tahun lalu, skuad kendalian Pan-gon mencipta sensasi apabila memadamkan badi 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas muncul lima naib juara terbaik di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Asia adalah pada 1980 di Kuwait, manakala pada saingan 2007 Malaysia bermain di saingan sama menerusi tiket selaku tuan rumah bersama dengan tiga lagi negara Asean iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Di Qatar pada Januari depan, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan E bersama gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan dan dua pasukan dari Asia Barat iaitu Jordan dan Bahrain.

Manakala di pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pula, anak buah Pan-gon akan menentang Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan atau Timor Leste.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 serta turut layak ke peringkat ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 untuk cuba menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik daripada 18 pasukan untuk meraih tiket automatik ke Piala Dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:55 PM