PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika mahu lebih selamat, skuad Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan lain iaitu mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam dua aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, bulan depan.

Nampak mudah namun sebenarnya skuad kendalian Kim Pan-gon berdepan tugas sukar apabila perlu berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Malah, kedudukan Oman yang berada di ranking 74 dunia juga memberi bayangan bahawa skuad Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan cukup getir dalam usaha menempah tiket awal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Juara dan naib juara kumpulan akan meraih slot ke Piala Asia 2027 dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Pan-gon sudah lebih awal membuat 'kerja rumah' membabitkan aksi perlawanan menentang Oman itu.

Beliau berkata, memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) akan bermula pada Mei, Harimau Malaya merancang untuk mengadakan latihan awal selain berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan sama ada di Malaysia atau luar negara.

"Walaupun (Harimau Malaya) ada enam mata, lawan Oman sekurang-kurangnya kita mesti dapat seri atau satu menang satu kalah. Kita tak boleh kalah kedua-dua aksi itu.

"Kalau itu terjadi (kalah), risiko kita tinggi kerana akan menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan berdepan Taiwan di gelanggang sendiri.

"Walaupun lawan Taiwan mungkin kita boleh menang, berdasarkan ranking, tapi dengan Oman kita mesti curi mata. Kalau kita layak maknanya kita konsisten di Piala Asia 2027," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 2:34 PM