LUQMAN Hakim (jersi no 10) akan menyertai kem latihan skuad B-23 negara bermula Isnin ini. FOTO FB FAM
LUQMAN Hakim (jersi no 10) akan menyertai kem latihan skuad B-23 negara bermula Isnin ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Siapa tak nak main Sukan Olimpik...saya harap kami dapat buat terbaik dan layak ke Olimpik Paris 2024."

Itu nada keyakinan dan harapan diluahkan penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang memasang impian untuk membawa skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara ke pentas Olimpik Paris 2024, tahun depan.

Luqman yang berjaya dihubungi oleh Arena Metro menyatakan secara eksklusif mengakui tidak sabar untuk membantu skuad kendalian Juan Torres Garrido bersaing di pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Katanya, peluang beraksi di Piala Asia itu perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan dia meletakkan sasaran peribadi untuk memacu Malaysia menggenggam tiket ke Paris 2024.

Untuk rekod, tiga pasukan terbaik dalam saingan di Qatar tahun depan itu bakal meraih slot automatik ke Paris 2024 bagi mewakili benua Asia di pentas Olimpik yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos.

Manakala, pasukan di tangga keempat di Piala Asia itu masih berpeluang layak dengan mengharungi aksi playoff berdepan wakil benua Afrika, Guinea yang muncul pasukan keempat terbaik dari benua itu selepas Maghribi, Mesir dan Mali menempah tiket ke Paris.

"Betul (nak bermain di Olimpik), sebab itu impian setiap pemain bola. Saya faham bukan mudah nak melepasi halangan di Piala Asia nanti, tapi kita perlu berusaha untuk capai dan tidak mustahil.

"Pasukan kita ada peluang, begitu juga dengan pasukan lain. Kita perlu tingkatkan usaha dan sentiasa harmoni dalam pasukan dan cuba berikan sebaik mungkin," katanya.

Pentas Olimpik bukanlah sesuatu yang asing buat skuad Harimau Malaya apabila dua kali pernah melayakkan diri secara merit ke saingan tertinggi itu.

Pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, menyaksikan pasukan kebangsaan menamatkan kedudukan di tangga ketiga Kumpulan A selepas tumbang 0-3 dan 0-6 kepada Jerman Barat dan Maghribi, biarpun menang 3-0 ke atas Amerika Syarikat (AS) pada aksi kedua.

Rentak cemerlang diteruskan oleh skuad 1980 apabila layak ke Olimpik Moscow selepas menewaskan Korea Selatan di pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Merdeka.

Begitupun, skuad Harimau Malaya tidak beraksi di Moscow selepas Kerajaan Malaysia memboikot temasya itu sebagai tanda protes ke atas tindakan Soviet Union yang menceroboh Afghanistan.

Luqman yang kini berada di Belgium bersama KV Kortrijk selepas tempoh pinjaman dengan kelab Njarovik FC di Iceland berakhir September lalu, akan kembali ke tanah air bagi menyertai latihan pusat kendalian Garrido bermula Isnin depan.

Skuad B-23 bakal menjalani latihan pusat pertama di bawah era Garrido selepas peletakan jawatan E Elavarasan sejurus berakhirnya Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, September lalu.

Kem latihan itu adalah persiapan awal untuk menghadapi Piala Asia B-23 di Qatar April depan.

Majlis undian akan dilangsungkan pada 23 November ini membabitkan 16 pasukan dengan Malaysia diletakkan dalam balang 4 bersama Tajikistan, Indonesia dan China.

Manakala tuan rumah Qatar dan juara bertahan Arab Saudi serta Uzbekistan dan Jepun berada dalam balang 1, diikuti Australia, Korea Selatan, Iraq dan Vietnam di balang 2 sementara Thailand, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait balang 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 8:46 PM