LUQMAN  teruja sertai skuad B-23 negara. FOTO Instagram luqmanhakimfans
LUQMAN teruja sertai skuad B-23 negara. FOTO Instagram luqmanhakimfans
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Lambaian Paris nyata membakar semangat penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang tetap dengan sasaran memastikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara meraih 'tiket penerbangan' ke kota itu sekali gus beraksi di Sukan Olimpik, Julai ini.

Luqman, 22, yang dipanggil pengendali B-23 negara, Juan Torres Garrido bakal dipertaruhkan di jentera hadapan di saingan Piala Asia B-23 di Qatar, bulan depan.

Berdasarkan format pertandingan itu, tiga pasukan terbaik di Qatar nanti bakal menggenggam slot automatik ke Sukan Olimpik Paris, dengan satu lagi pasukan akan mengharungi pusingan playoff bertemu wakil Afrika, Guinea yang menduduki tempat keempat di saingan Piala Negara Afrika B-23, Julai tahun lalu.

"Pertama sekali, saya gembira untuk panggilan Malaysia (B-23) dan tidak sabar untuk memulakan kejohanan Piala Asia B-23 ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk mencapai sesuatu dengan pasukan Malaysia.

"Sasaran kami untuk menang dan layak ke Olimpik. Terima kasih banyak kepada YSCC kerana sentiasa menyokong saya. Saya amat menghargainya," kata Luqman di laman Instagram, YSCC Yokohama.

Ketika ini, Luqman beraksi di Jepun bersama kelab YSCC Yokohama dalam division tiga negara itu.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait. Skuad negara dijadual memulakan latihan pusat Ahad ini, dengan beberapa perlawanan persahabatan sudah diatur sebelum memulakan kempen di Qatar nanti.

Antara pasukan yang akan menguji pasukan adalah India (22 Mac dan 25 Mac), China (3 April) dan Qatar (6 April atau 7 April), dengan satu lagi aksi masih dalam perancangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 4:19 PM