PASUKAN Chelsea ketika menentang Blackburn Rovers. FOTO FB Chelsea FC
PASUKAN Chelsea ketika menentang Blackburn Rovers. FOTO FB Chelsea FC
Agensi

London: Kegagalan beberapa pasukan pilihan mara ke suku akhir seolah memberi harapan buat Chelsea untuk menjuarai Piala Liga Inggeris musim ini.

Harapan itu dinyatakan pengurus pasukan, Mauricio Pochettino selepas melihat anak buahnya mudah mengatasi Blackburn Rovers 2-0 sambil Manchester United dan Arsenal ditunjukkan jalan keluar di pusingan keempat itu.

"Saya fikir begitu (menjuarai Piala Liga). Kami perlu memikirkan ia sebagai satu pertandingan penting buat kami. Kami tidak bertanding di Eropah.

"Ia patut menjadi peluang buat kami seperti mana Liga Perdana Inggeris dan Piala FA yang akan bermula pada Januari depan. Sudah tentu, kami perlu memikirkan kami boleh memenangi pertandingan ini," katanya.

Dua gol The Blues dijaringkan oleh Benoit Badiashile dan Raheem Sterling di setiap babak, masing-masing pada minit 30 dan 59.

Pochettino turut memuji persembahan ketua pasukannya, Reece James yang kembali memperkuatkan pasukan yang disisihkan sebelum ini.

"Dia amat penting, seperti selalu. Apabila anda memutuskan dia kapten anda adalah penting dia kekal cergas, boleh bermain dan membantu pasukan. Dia seorang pemain yang penting buat kami.

"Dia seorang pemain mengagumkan, bagi saya salah seorang pemain pertahanan terbaik di dunia. Malangnya dia hanya beraksi 70-75 minit menentang Liverpool pada perlawanan pertama dan hingga hari ini dia tidak beraksi".

Di suku akhir Piala Liga nanti, Chelsea diundi berdepan Newcastle United yang menumbangkan Manchester United 3-0 di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:08 PM