NIERRAS (kiri) semasa sidang media menjelang perlawanan Piala AFC 2023 menentang Terengganu FC  di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
NIERRAS (kiri) semasa sidang media menjelang perlawanan Piala AFC 2023 menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali kelab Filipina, Stallion Laguna FC, Ernest Nierras enggan memikirkan rekod dalam dua perlawanan terdahulu ketika dibelasah kelab Australia, Central Coast Mariners dan kelab Indonesia, Bali United.

Sebaliknya pengendali kelahiran Filipina itu menjelaskan beliau bakal tampil dengan strategi yang berbeza dalam misi untuk mengutip mata pertama selepas gagal meraih sebarang mata setakat ini.

Bagaimanapun Nierras akui anak buahnya bakal berdepan dengan tugas sukar lebih-lebih lagi skuad Terengganu FC (TFC) kendalian Tomislav Steinbruckner sudah membuktikan kemampuan mereka ketika menumpaskan Central Coast Mariners 1-0 dan terikat 1-1 dengan Bali United.

Kelab Filipina itu bakal berdepan Terengganu pada aksi ketiga peringkat Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada jam 4 petang esok.

"Atas kertas skuad lawan lebih handal berbanding kami, mereka sudah membuktikan dalam dua perlawanan terdahulu menentang kelab Australia dan Indonesia manakala pasukan kami tumpas dalam dua perlawanan berkenaan.

"Selain itu mereka ada Jordan Mintah, Ivan Mamut dan kapten, Habib Haroon yang mempunyai corak permainan berkualiti, jadi kami perlu berdepan dengan pemain yang berada pada tahap yang berbeza.

"Namun saya tegaskan kepada pemain usah memikirkan berkenaan dengan prestasi semasa pasukan lawan, sebaliknya pemain perlu peragakan aksi terbaik berdepan tuan rumah.

"Pemain juga perlu bekerja keras selain tidak memberikan ruang kepada lawan menguasai permainan kerana matlamat kita adalah untuk menang dan mengutip mata pertama, harap ia menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui ketika sidang media menjelang pertemuan itu petang esok.

Sementara itu kapten skuad itu, Matthew Nierras berazam untuk melakar kejutan walaupun atas kertas kelebihan dilihat lebih memihak kepada pasukan Terengganu.

"Pasukan pilihan ataupun tidak kami tidak kisah, kami sudah bermain dua kali dan kami mahu menang perlawanan menentang Terengganu, jadi kami perlukan penyudah yang berkualiti untuk melakukan kejutan ke atas tuan rumah," katanya.

Terdahulu kelab Filipina itu tumpas 5-2 kepada Bali United pada aksi pertama manakala aksi kedua skuad itu dibelasah kelab Central Coast Mariners 9-1, berdasarkan keputusan itu, peluang Terengganu untuk memburu kemenangan kedua dilihat cerah apatah lagi beraksi di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 3:31 PM