Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Penyerang Sabah FC, Darren Lok menjaringkan dua gol bagi memastikan mereka menang selesa 3-1 ke atas Hougang United FC dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 di Stadium Likas, malam ini.

Darren menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-38 selepas meloloskan bola hasil sepakan sudut Saddil Ramdani ke arah gawang Hougang, sebelum sekali lagi mencipta jaringan melalui tandukan pada minit ke-62.

Menariknya, gol kedua Darren berlaku seminit sesudah pemain Hougang, Takayama Kazuma mencipta gol tunggal pasukan dari Singapura itu selepas bola hanya terkeluar sedikit daripada garisan putih di hadapan gawang Sabah.

Gol itu menimbulkan sedikit kekeliruan berikutan penjaga gol Sabah, Daimen Lim dilihat berjaya menepis keluar bola, namun semakan rakaman VAR mendapati bola sepakan Kazuma itu sudah terlebih dahulu berada dalam gawang Sabah selepas melepasi garisan.

Satu lagi gol Sabah dijaringkan menerusi tandukan Gabriel Peres pada minit kelima selepas menerima hantaran Daniel Ting, sekali gus membolehkan mereka mendahului perlawanan.

Secara keseluruhan, Sabah menguasai permainan dengan serangan berbahaya, namun situasi padang licin berikutan hujan lebat menggagalkan banyak cubaan mereka.

Hougang yang kelihatan tertekan bermain dalam keadaan padang becak lebih banyak bertahan di kawasan sendiri dan hanya sekali sekala dapat melancarkan serangan balas.

Penjaga gol Hougang, Zaiful Nizam Abdullah terpaksa bekerja keras menutup gawang daripada dibolosi lebih banyak setelah tiga gol pemain Sabah berjaya menewaskannya.

Agak malang bagi Hougang yang kelihatan agak sukar melakukan serangan dalam situasi padang licin, berbanding Sabah yang dilihat tidak berdepan banyak masalah.

Sabah dilihat memiliki kelebihan untuk sekali lagi berdepan Hougang United pada aksi timbal balik di Singapura pada 30 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 10:23 PM
DARREN (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO MOHD ADAM ARININ
DARREN (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO MOHD ADAM ARININ