PEMAIN Mahmoud Al-Mawas (kanan) cuba melepasi kawalan pertahanan negara pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong, semalam.
PEMAIN Mahmoud Al-Mawas (kanan) cuba melepasi kawalan pertahanan negara pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong, semalam.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Malaysia tewas 1-2 kepada Syria menerusi dua jaringan pelawat selang seminit pada minit ke-83 dan 84 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Selepas lebih seminggu menjalani latihan di Melaka di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Portugal, Nelo Vingada, pemain dilihat berjaya mempamer pengawalan bola yang baik pada awal babak permainan terutama menerusi hantaran pendek.

Dibarisi pemain terbaik di Liga Malaysia diketuai kapten, Safiq Rahim sambil disulam muka baru seperti Kiko Insa, Harimau Malaya cuba menyaingi pergerakan Syria yang menduduki ranking ke-80 dunia.

Bagaimanapun, tidak banyak asakan berbahaya yang dilancarkan kedua-dua pasukan sebaliknya bola lebih banyak berlegar di tengah padang dengan percubaan terbaik Syria hanya hadir pada minit ke-15 dan 19 menerusi Firas Al-Khatib namun gagal memecah kebuntuan.

Percubaan terbaik buat skuad negara pula berlaku pada minit ke-32 namun sepakan percuma Baddrol Bakhtiar berjaya diselamatkan penjaga gol Syria, Ibrahim Alma.

Hantaran lintang Baddrol pada minit ke-39 yang cuba mencari Hazwan Bakri dan Syazwan Zainon pula berjaya diselamatkan Ibrahim sekali gus menyaksikan kedudukan terikat 0-0 hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan pelawat hampir memecah kebuntuan namun percubaan Mahmoud Al-Mawas yang hanya berdepan Khairul Azhan Mohd Khalid berjaya diselamatkan penjaga gol terbabit.

Keserasian barisan benteng negara diketuai Adil Zafuan Abd Razak, Shahrom Kalam, Nazirul Naim dan Mohd Rizal Ghazali serta Khairul Azhan menyaksikan gawang pasukan negara tetap kebal.

Vingada melakukan beberapa pertukaran pada pertengahan babak kedua dengan membawa masuk Darren Lok, Mohd Fitri Omar , Syamim Yahya dan Mohd Shahrel Fikri menggantikan Hazwan, Nazirul Naim, Syazwan dan Kiko Insa bagi mencari keserasian baru.

Hasilnya, Syamim berjaya melepaskan rembatan pada minit ke-70 namun sedikit tersasar ke kanan gawang lawan manakala tandukan Darren pula disekat pertahanan Syria.

Gol pelawat hadir pada minit ke-83 dan 84 menerusi Al Marmour Mohamad dan Mohd Rafat Muhtadi namun Darren berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke-90 untuk menjadikan kedudukan 1-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 8:47 AM