AKSI Pemain Sabah. FOTO FB Sabah FC
AKSI Pemain Sabah. FOTO FB Sabah FC
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC bertekad untuk memperbaiki lagi rentak permainan terutama aspek penyudah yang dilihat masih tumpul bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam saingan Piala AFC 2023.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun berjaya menundukkan Hougang United FC dari Singapura 3-1 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H di Stadium Likas malam tadi, masih ada kelemahan aspek penyudah pasukannya.

Kelemahan itu katanya perlu diperbaiki agar skuad Sang Badak dapat beraksi dengan lebih berkesan untuk meneruskan saingan ke peringkat selanjutnya dalam Piala AFC.

"Ini satu permulaan yang positif di mana kita tahu dengan keadaan cuaca atau padang yang tidak begitu baik, kita mampu mendapatkan keputusan yang kita inginkan.

"Namun, banyak lagi yang kita perlu perbaiki terutama dari segi penyudah dan ini penting jika kita ingin layak ke peringkat seterusnya," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam aksi itu, tuan rumah mendahului jaringan menerusi Gabriel Peres seawal minit kelima, disusuli dua lagi gol oleh Darren Lok pada minit ke-38 dan ke-62, manakala gol tunggal Hougang dijaringkan Takayama Kazuma.

Aksi yang berlangsung dalam keadaan padang licin akibat hujan yang agak lebat sepanjang perlawanan itu menyaksikan skuad Sang Badak lebih banyak melakukan serangan dan cubaan, namun hanya tiga yang menepati sasaran.

"Dengan keadaan padang yang tidak begitu elok terutama dengan permukaan padang yang licin, ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan kita.

"Namun kita berjaya mendapatkan dua gol melalui 'set piece' dan juga semangat juang yang tinggi ditunjukkan pemain selepas kita dibolosi," katanya.

Sementara itu, Kim Swee juga mengucapkan terima kasih kepada lebih 7,000 penonton yang menyaksikan perlawanan di stadium yang sanggup berhujan sejak awal perlawanan hingga tamat.

Katanya kehadiran ramai penyokong Sabah penting bagi memberi motivasi kepada pemain yang diturunkan setiap kali ada perlawanan di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 1:20 PM