PERES (tengah) bersorak selepas menjaringkan gol ketiga buat Sabah FC. FOTO MOHD ADAM ARININ
PERES (tengah) bersorak selepas menjaringkan gol ketiga buat Sabah FC. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC menepati sasaran memenangi perlawanan Kumpulan H Piala AFC menentang Hai Phong FC dari Vietnam, 4-1, di Stadium Likas, malam ini.

Pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mengutip mata penuh selepas tewas 2-3 ketika perlawanan pertama di Vietnam pada 25 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pelawat hampir menjaringkan gol seawal minit kedua menerusi cubaan pemain tengah Hai Phong, Nguyen Huu Son dalam situasi satu lawan satu dengan Khairul Fahmi Che Mat, namun tersasar di tepi gawang.

Penyerang Sabah, Daniel Ting menjaringkan gol pertama pada minit ke-20 bagi memberi semangat kepada pasukan untuk menguasai permainan.

Sabah FC melancarkan serangan demi serangan kubu lawan dan mendahului 2-0 pada minit ke-33 apabila Darren Lok menanduk masuk sepakan percuma Saddil Ramdani.

Sebelum itu, Saddil dijatuhkan pemain Hai Phong, Trieu Viet Hung yang dilayangkan kad kuning.

Pada babak kedua, Sabah mula ditekan pemain Hai Phong hingga memaksa anak buah Kim Swee lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Sabah kemudian menambah satu lagi gol menerusi serangan balas dimanfaatkan melalui tandukan Gabriel Peres pada minit ke-69, sekali gus mendahului 3-0.

Namun, pelawat mendapat gol tunggal menerusi tandukan penyerang Hai Phong, Yuri Souza Almeida pada minit ke-84.

Harapan Hai Phong untuk bangkit melawan musnah apabila pemain gantian Sabah, Muhamad Jafri Chew menjaringkan gol keempat pada minit ke-94.

Kemenangan 4-1 itu menyaksikan Sabah FC memintas Hai Phong untuk berada di tangga teratas carta Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 10:14 PM