PENYOKONG Pahang Rangers dijangka memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam untuk aksi final Piala Futsal Malaysia menentang JDT, Ahad ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PENYOKONG Pahang Rangers dijangka memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam untuk aksi final Piala Futsal Malaysia menentang JDT, Ahad ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Lebih 1,000 penyokong dijangka ke Stadium Malawati Shah Alam, Selangor buat memberi sokongan kepada Pahang Rangers yang akan beraksi di final Piala Futsal Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahad ini.

Pegawai media Pahang Rangers, Muhammad Aiman Aminul berkata , kehadiran penyokong dapat memeriahkan lagi perlawanan akhir itu dan lebih utama dapat meningkatkan lagi semangat barisan pemain Pahang Rangers.

Menurutnya, penyokong terdiri daripada kumpulan Elephant Army yang menjadi pengikut setia Tok Gajah sepanjang musim ini, dengan mengenakan pakaian berwarna hitam dan gendang sambil mendendangkan beberapa lagu yang menjadi pembakar semangat pemain.

"Saya berharap lebih ramai lagi penyokong Pahang Rangers dapat datang ke Stadium Malawati Shah Alam bagi memberi sokongan kepada barisan pemain yang membawa misi menjulang kejuaraan Piala Futsal Malaysia musim ini.

"Selepas merangkul piala Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL), misi seterusnya membawa pulang Piala Futsal Malaysia bagi melengkapkan pencapaian mendakap dua kejuaraan dalam satu musim," katanya.

Beliau menambah, musim lalu Tok Gajah kecundang pada perlawanan akhir liga MPFL dan Piala Futsal Malaysia, namun musim ini kebangkitan dapat dilakukan barisan pemain bimbingan jurulatih Gerard Casas.

Muhammad Aiman berkata, kehadiran dua pemain import, Sergio Jamur De Sousa dan Amin Nasrollah Zadeh menambahkan lagi kekuatan pasukan manakala prestasi pemain tempatan berada di kemuncak sejak awal musim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 10:20 PM