SOUZA (kiri) dan Saad (kanan) kini bersama Tok Gajah mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura. FOTO Ihsan PRFC
SOUZA (kiri) dan Saad (kanan) kini bersama Tok Gajah mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura. FOTO Ihsan PRFC
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Pahang Rangers FC melengkapkan pengambilan dua 'awang' import musim ini dengan menerima pemain kelahiran Brazil, Felipe de Souza.

Pemain tinggi lampai berusia 32 tahun itu sebelum ini beraksi dengan Al Riyadh untuk menjuarai Saudi Games serta muncul naib juara Piala SAFF.

Souza sebelum ini adalah pemain bola sepak profesional dan pernah bersama pasukan Melaka United dalam Liga Malaysia (Liga M) sebelum beralih ke sukan futsal.

Kehadiran pemain berkenaan melengkapkan kuota import Tok Gajah yang sebelum ini menerima pemain kelahiran Brazil, Murilo Saad.

Selepas mengikuti sesi latihan pasukan Pahang Rangers FC kendalian jurulatih, Gerard Casas, kemampuan dua pemain import sudah mula dapat dilihat menerusi sepakan kencang dan skil yang menarik dipamerkan.

Kini mereka (Saad dan Souza) bersama skuad Pantai Timur itu berada di Singapura bagi mengadakan perlawanan persahabatan pemanas badan menjelang saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) bulan depan.

Menurut Souza, dia begitu gembira dapat bersama pasukan Pahang Rangers FC yang berstatus juara berganda musim lalu, dengan membariskan ramai pemain terbaik.

Katanya, kemampuan tinggi barisan pemain dapat dilihat pada sesi latihan yang disertai sebelum ini, faktor berkenaan meletakkan Pahang Rangers FC sebagai pasukan terbaik MPFL musim lalu yang disegani semua pasukan di negara ini.

"Saya berharap dapat membantu pasukan Tok Gajah mencipta kejayaan musim ini, sambil mendapat bantuan daripada rakan sepasukan yang lebih berpengalaman dalam MPFL.

"Saya yakin dalam masa beberapa minggu lagi saya dapat membentuk persefahaman lebih baik dengan barisan pemain tempatan seterusnya mempamerkan corak permainan yang digunakan," katanya, dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, menurut Casas kehadiran Saad dan Souza diharap dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sergio Jamur De Sousa dan Amin Nasrollah Zadeh musim ini.

"Saya harap dua tenaga import itu (Saad dan Souza) dapat memberi persembahan terbaik bagi membantu Pahang Rangers FC mencipta kejayaan musim ini, usaha mempertahankan dua kejuaraan musim lalu bukan perkara mudah.

"Sokongan dan kerja kuat semua pemain diharap dapat dibentuk bagi menghasilkan pasukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:50 PM