CASAS berkata prestasi Pahang Rangers kini berada di kemuncak selepas melakar kejuaraan MPFL. FOTO MOHD RAFI MAMAT
CASAS berkata prestasi Pahang Rangers kini berada di kemuncak selepas melakar kejuaraan MPFL. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kemenangan menjadi misi buat Pahang Rangers yang akan melayan kunjungan Terengganu pada saingan separuh akhir pertama Piala Futsal Malaysia di Stadium Tertutup SUKPA, esok.

Rekod pertemuan dua pasukan dalam kumpulan A musim ini, menyaksikan juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 itu tidak banyak berhadapan masalah menewaskan skuad pelawat itu.

Menurut jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas walaupun pasukanya sebelum ini telah menewaskan pasukan Terengganu, namun itu tidak bermakna pelawat lemah dan mudah ditewaskan.

Katanya, semua pasukan yang bersaing dalam MPFL dan Piala Futsal Malaysia memiliki kelebihan dan mampu melakukan kejutan sekiranya tidak diberi perhatian sepanjang perlawanan.

"Saya telah mengingatkan barisan pemain Pahang Rangers supaya memberi sepenuh perhatian terhadap perlawanan malam esok yang dijangka sengit, jangan memandang rendah pada lawan.

"Lakukan yang terbaik seawal permainan dan berusaha menghasilkan gol kerana jaringan banyak diperlukan sebagai bekalan perlawanan separuh akhir kedua di tempat lawan minggu depan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menegaskan, semua pemain yang diturunkan malam esok perlu meletakkan misi untuk layak beraksi pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia bagi melengkapkan kejuaraan berganda buat Pahang Rangers musim ini.

Casas berkata, prestasi Pahang Rangers kini berada di kemuncak selepas melakar kejuaraan MPFL dan kecemerlangan itu diharap dapat diteruskan pada saingan Piala Futsal Malaysia yang kini telah memasuki peringkat separuh akhir.

"Selangkah sahaja lagi kita akan ke pentas final, namun cabaran berhadapan pasukan Terengganu dianggap begitu mencabar yang memerlukan tumpuan lebih oleh pemain Pahang Rangers.

"Kejayaan terhadap lawan sebelum ini perlu dilupakan kerana semangat saingan separuh akhir berbeza, tersilap langkah kita akan menerima akibatnya," katanya yang yakin keputusan mampu berpihak pada Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 6:05 PM