BARATHKUMAR (kanan) enggan tragedi dibedal JDT berulang.
BARATHKUMAR (kanan) enggan tragedi dibedal JDT berulang.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kekalahan 0-7 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 6 Mac lalu, masih berbekas dalam diri pemain Negeri Sembilan FC (NSFC).

Kekalahan terbesar itu ternyata sukar dilupakan buat pemain skuad Hobin Jang Hobin menjelang pertembungan dengan pasukan sama pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di gelanggang sendiri, 13 September ini.

Pemain tengah, R Barathkumar akui 'tragedi' itu sukar dilupakan begitu sahaja, apatah lagi ia berlaku di hadapan penyokong sendiri.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan tidak rela sama sekali nasib serupa berulang, sebaliknya mahu pasukannya berupaya memberikan persembahan terbaik dan bertenaga, pada pertembungan 13 September nanti.

"Memang kekalahan besar kepada JDT itu masih berbekas dan bagi kami itu satu pengalaman berharga yang akan dijadikan panduan untuk lebih berwaspada.

"Fokus kami sekarang tidak mahu ia berulang lagi dan mahu berikan persembahan terbaik demi maruah pasukan dengan berusaha mendapatkan keputusan positif di laman sendiri.

"Saya percaya sasaran itu bukan mustahil untuk dicapai dengan komitmen tinggi semua pemain serta masing-masing dapat mencapai tahap prestasi tertinggi dalam persembahan," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 2:49 PM