Shahrel Fikri (kiri) dan Casagrande meraikan jaringan pada pertembungan dengan Kelantan FC, Sabtu lalu. FOTO Ihsan FB NSFC
Shahrel Fikri (kiri) dan Casagrande meraikan jaringan pada pertembungan dengan Kelantan FC, Sabtu lalu. FOTO Ihsan FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas gandingan Casagrande dengan Mohamad Shahrel Fikri Md Fauzi dilihat menampakkan kemajuan, pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan tidak menolak kemungkinan mempertaruhkan gandingan pemain itu pada pertembungan dengan Selangor FC, esok.

Perlawanan Liga Super keenam bagi Negeri Sembilan dan ketujuh bagi Selangor itu dijadual bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Casagrande dan Shahrel Fikri masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu skuad Hobin Jang Hobin melakar kemenangan bergaya ke atas Kelantan FC, 4-2, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu.

Bagi Devan, Shahrel Fikri atau mesra dipanggil Eky memiliki kualiti sebagai penyerang, malah kreativitinya dalam mencari ruang untuk menjaringkan gol, membuktikan kebolehannya yang tersendiri.

"Kebolehan beliau (Shahrel Fikri) ialah keupayaan bertindak pantas mencari ruang terbaik dalam kawasan gol lawan dan kualiti dimilikinya itu digunakan sepenuhnya untuk menjaringkan gol.

"Ini terbukti apa yang dilakukannya ketika perlawanan dengan Kelantan dan saya rasa dengan kejayaannya menjaringkan gol itu, keyakinan beliau akan bertambah baik.

"Jika beliau boleh kekalkan prestasi dan tahap kecergasannya itu, diyakini dia boleh diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Selangor," katanya di sini, hari ini.

Shahrel Fikri yang beraksi bersama Selangor musim lalu setakat ini dimasukkan sebagai pemain gantian berikutan dikatakan tahap kecergasannya belum mencapai 100 peratus selepas dibelenggu masalah kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 12:43 PM