YOUSSEF bakal perkuat jentera serangan Negeri Sembilan FC. FOTO Ihsan FB NSFC
YOUSSEF bakal perkuat jentera serangan Negeri Sembilan FC. FOTO Ihsan FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jentera serangan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) harus lebih berbisa pada perlawanan akan datang apabila bakal diperkuatkan dengan penyerang import baharu, Youssef Ezzejjari.

Penyerang kelahiran Sepanyol berusia 30 tahun itu menjadi pemain import kedua terbaharu yang diambil kelab berkenaan pada sesi perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M) musim ini, yang berakhir malam tadi.

Terdahulu, pemain muda dari Myanmar, Hein Thet Aung, 21, yang sebelum ini beraksi bersama Selangor FC menyertai Negeri Sembilan secara pinjaman bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia yang bermula hujung minggu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, kelab berkenaan mengesahkan Youssef Ezzejjari menyertai skuad Hobin Jang Hobin dan mengucapkan selamat datang kepada pemain berkenaan.

"Selamat datang kepada Youssef Ezzejjari bersama Negeri Sembilan. Bertindak sebagai pemain penyerang, pemain berketurunan Maghribi ini pernah beraksi di Liga 1 Indonesia bersama pasukan Bhayangkara dan Liga 1 Thailand bersama Khon Kaen United.

"Beliau memiliki ketinggian 1.85 meter dan ini merupakan kali pertama Youssef menyertai pasukan Liga Malaysia," kata kenyataan itu, di sini hari ini.

Kehadiran Youssef dan Thet Aung dalam pasukan berkenaan adalah bagi menggantikan dua pemain import sebelum ini yang berhijrah ke pasukan lain iaitu Safuwan Baharudin (Selangor FC) dan Levy Madinda di sebuah kelab di Indonesia.

Kelibat Youssef sudah tentu dinanti-nantikan peminat dan penyokong Negeri Sembilan berikutan kekuatan jentera serangan skuad bimbingan K Devan itu dilihat sedikit terjejas.

Ia susulan dua penyerang utama iaitu Casagrande dan Shahrel Fikri Md Fauzi yang baharu pulih daripada kecederaan.

Sementara itu, pemain pertahanan berpengalaman, Che Rashid Che Halim menyifatkan kehadiran Youssef adalah tepat pada masanya, dalam misi Negeri Sembilan untuk memburu kedudukan yang lebih baik dalam carta liga.

"Saya berharap dia dapat membantu memperkuatkan lagi pasukan terutama di bahagian serangan, walaupun mungkin dia memerlukan sedikit masa untuk mencapai

keserasian dan menunjukkan bisanya.

"Apapun kami amat mengalu-alukan kehadiran Youssef agar hasrat kita untuk mendapatkan kemenangan pada baki saingan liga dan kempen Piala Malaysia ini nanti, tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 5:46 PM