GUARDIOLA (kir) yakin barisan pemainnya mampu galas tugas pada musim baharu. FOTO AFP
GUARDIOLA (kir) yakin barisan pemainnya mampu galas tugas pada musim baharu. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester City akan memulakan usaha untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berkunjung ke Burnley yang baru naik ke liga utama, awal pagi Sabtu ini.

Skuad bimbingan Pep Guardiola pastinya akan berusaha menyekat kemaraan beberapa pencabar utama mereka yang bercita-cita tinggi untuk merampas gelaran juara liga '

Arsenal dan Manchester United sudah berbelanja besar untuk berusaha menamatkan penantian kemarau kejuaraan EPL manakala Liverpool dan Chelsea dijangka bangkit daripada kekecewaan musim lalu.

Tetapi jendela perpindahan kelab Inggeris dibayangi dengan tawaran cukup lumayan dari kelab di liga Arab Saudi.

City bukan sahaja memenangi EPL untuk kali keempat dalam tempoh lima tahun musim lalu, tetapi melengkapkan treble selepas menjulang Piala FA dan trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama untuk kelab itu.

Guardiola yakin City akan menyahut cabaran untuk muncul pasukan pertama yang pernah memenangi empat kejuaraan Liga Perdana berturut-turut.

"Kami sudah melakukannya pada masa lalu, kenapa tidak kami lakukannya sekarang? Apa yang sudah kami lakukan berada dalam hati dan fikiran kami, namun kami tidak boleh berhenti setakat itu sahaja," kata Guardiola.

City sudah kehilangan khidmat kapten, Ilkay Gundogan yang berhijrah ke Barcelona dan Riyad Mahrez pula ke Arab Saudi.

Ketibaan pemain antarabangsa Croatia, Josko Gvardiol dan Mateo Kovacic sedikit melegakan City namun juara bertahan itu dilihat tidak agresif ketika jendela perpindahan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 9:51 AM