GUARDIOLA (kiri) masih terasa kekalahan kepada Real dalam separuh akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
GUARDIOLA (kiri) masih terasa kekalahan kepada Real dalam separuh akhir Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

London: Pep Guardiola mengakui 'tiada perkataan boleh membantu' mengurangkan kesakitan penyingkiran Manchester City daripada Liga Juara-Juara ketika beliau memberi tumpuan semula kepada cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

City hampir untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir menentang Liverpool sebelum Real Madrid melakukan kebangkitan menakjubkan di Bernabeu Khamis lalu.

Real meledak dua gol di hujung perlawanan dan menang 3-1 selepas tambahan masa untuk meraih keputusan agregat 6-5.

Ditanya apa yang diberitahunya kepada pemain Guardiola berkata, mereka tidak bercakap dan tiada perkataan yang mampu membantu meredakan apa yang mereka rasa.

"Ini soal masa, kami cuba tidur dan fikirkan sasaran. Esok kami bincang," kata Guardiola.

Bos City kini perlu mempersiapkan pasukannya untuk meneruskan saingan EPL.

City, yang mendahului Liverpool hanya satu mata dengan berbaki empat perlawanan, menanti kunjungan Newcastle esok, sehari selepas pasukan bimbingan Jurgen Klopp menentang Tottenham.

"Kami tidak memikirkan mengenai kejuaraan, kami memikirkan Newcastle. Itu sudah cukup untuk tumpuan kami seterusnya. Kemudian Wolves, kemudian West Ham. Tidak perlu mendengar apa yang orang katakan yang mampu kami capai," kata Guardiola.

City mendominasi saingan di England sejak sedekad lalu tetapi masih belum dinobatkan sebagai juara Eropah walaupun pelaburan besar daripada pemilik kelab.

"Jika mereka berkata ia adalah kegagalan maka saya tidak bersetuju," kata Guardiola, yang pasukannya tewas pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara tahun lalu kepada Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 8:57 AM