PENGURUS Manchester City,  Pep Guardiola (kanan) memeluk rakan sejawatnya di Newcastle United, Eddie Howe selepas perlawanan berkesudahan seri 3-3. FOTO Reuters
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola (kanan) memeluk rakan sejawatnya di Newcastle United, Eddie Howe selepas perlawanan berkesudahan seri 3-3. FOTO Reuters
AFP

Newcastle: Pep Guardiola berkata, Newcastle kini antara cabaran perncabar terkuat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Manchester City terpaksa bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk seri 3-3, awal pagi tadi.

Skuad The Magpies tidak berbelanja besar hasil kekayaan jutawan Arab Saudi seperti dijangkakan pada jendela perpindahan pemain, namun mereka mengejutkan juara bertahan itu dengan jaringan Miguel Almiron, Callum Wilson dan Kieran Trippier.

Erling Haaland merapatkan jurang untuk City sebelum Bernardo Silva memastikan satu mata buat mereka.

City kini menduduki tangga kedua liga apabila ketinggalan dua mata di belakang Arsenal, tetapi terlepas peluang memiliki kelebihan tujuh mata ke atas Liverpool yang akan berkunjung ke Manchester United, pagi esok.

Bagaimanapun, Guardiola gembira apabila membawa pulang satu mata dari St James' Park.

"Sudah pasti, Newcastle kini menjadi antara lawan paling sukar," kata Guardiola.

"Leeds menewaskan Chelsea, hari ini. EPL semakin sukar untuk semua orang. Kami perlu hidup dengan pengalaman melakukan perkara menakjubkan dalam tempoh lima tahun lalu dan betapa sukarnya ia dilakukan.

"Untuk melihat pemain berjuang sehingga ke akhir perlawanan sudah memadai."

Newcastle mengumpul empat mata daripada dua perlawanan awal liga tanpa bolos.

Bagaimanapun, rekod itu musnah seawal minit kelima apabila City menguasai perlawanan dan membuka jaringan.

Silva kembali berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini, selepas pemain tengah Portugal itu dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dan Paris Saint-Germain.

Dia memberi impak awal apabila umpanannya disempurnakan Ilkay Gundogan, tetapi tenaga dan intensiti Newcastle terutama kepantasan Allan Saint-Maximin memberi masalah kepada City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 9:00 AM