INSIDEN Natxo Insa (kiri) menyentuh pengadil perlawanan, Noor Azriel  ketika menentang Perak FC pada 21 Mac lalu. - FOTO vocket fc
INSIDEN Natxo Insa (kiri) menyentuh pengadil perlawanan, Noor Azriel ketika menentang Perak FC pada 21 Mac lalu. - FOTO vocket fc
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perdebatan dan teka-teki hukuman patut dikenakan terhadap tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) Natxo Insa akhirnya terjawab apabila pemain itu menerima hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 berikutan tindakannya menyentuh pengadil sebelum ini.

Hukuman terbabit dikenakan terhadap pemain berkenaan selepas didapati melanggar artikel Artikel 59 Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Perak FC menentang JDT 21 Mac lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Baljit Singh Sidhu, pemain itu tidak menunjukkan semangat kesukanan terhadap pengadil Noor Azriel Baharudin apabila menyentuh dada individu berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan itu.

"Merujuk kepada Artikel 40 Kod ini, penggantungan dua perlawanan dikenakan ke atas pemain ini membabitkan perlawanan JDT menentang Melaka United FC pada Jumaat ini (esok). Baki satu lagi perlawanan ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini. ''Jika pemain ini didapati bersalah mengulangi kesalahan sama, baki hukuman penggantungan satu perlawanan ini akan berkuatkuasa serta-merta. Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Selain itu, Baljit Singh berkata, pemain berusia 34 tahun itu boleh mengemukakan rayuan membabitkan denda manakala hukuman penggantungan adalah muktamad.

Terdahulu, FAM sudah menjatuhkan hukuman kepada empat pemain iaitu Jack Raymond Hindle, Khairil Anuar (PJ City), Alex Goncalves (Melaka United) dan Hein Htet Aung (Selangor).

Khairil Anuar yang didapati bersalah "berlakon" untuk mendapatkan sepakan penalti digantung dua perlawanan iaitu PJ City FC bertemu Terengganu FC (2 April 2021) dan Kuala Lumpur City FC (7 April 2021).

Hein Htet Aung turut digantung satu perlawanan selepas melakukan kesalahan mempamerkan simbol yang berbaur politik (3 jari) semasa perlawanan menentang PDRM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 8:03 PM