Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelik tapi benar. Itu kesimpulan dapat dilihat hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 berjalan 'sekerat-sekerat' iaitu tidak dilakukan sekali gus terhadap pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah berkata, hukuman dikenakan terhadap pemain kacukan itu dilihat wajar namun jumlah penggantungan itu dilihat menimbulkan syak wasangka atau pelik.

Katanya, hukuman itu cukup menghairankan apabila penggantungan berjalan 'sekerat-sekerat' di mana hanya penggantungan satu perlawanan dikenakan manakala satu lagi 'ditangguh' tertakluk kepada kelakuan baik pemain itu dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.

"Untuk hukuman denda, saya rasa berpatutan dan rayuan pun boleh dibuat. Tetapi kadang kala denda itu boleh diturunkan atau dinaikkan bergantung kepada Jawatankuasa Rayuan.

"Tetapi untuk jumlah penggantungan perlawanan seperti dikenakan itu, saya berpendapat agak pelik kerana satu secara automatik dan satu lagi ditangguhkan pula mengikut keadaan pada masa depan.

"Kalau dikatakan dua perlawanan digantung, maka dua perlawananlah penggantungan perlu dilakukan. Saya rasa tidak pernah lagi hukuman penggantungan dibuat seperti ini," katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh kekal dengan pendirian seperti dinyatakan sebelum ini dan mempersoalkan sekiranya hukuman terbabit memberi 'mesej' jelas kepada semua pihak.

"Apakah hukuman ini memberikan mesej jelas iaitu keganasan perlu dihentikan dalam bola sepak? Saya biarkan pihak di luar sana membuat penilaian mereka sendiri.

''Hukuman pada hari ini (kelmarin) akan menjadi panduan bukan setakat kepada Liga Malaysia (Liga M) tetapi juga perlu difikirkan kesannya kepada semua pihak yang menguruskan pertandingan bola sepak di negara ini dalam pelbagai peringkat.

"Bagaimanapun, eloklah sesuatu hukuman itu dirujuk kepada kes terdahulu yang pernah berlaku membabitkan Liga M. Jika tidak mengikut Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekalipun, guna dan hormatilah keputusan pernah dibuat Jawatankuasa Disiplin terdahulu," katanya.

Terdahulu, Natxo menerima hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 berikutan tindakannya menyentuh pengadil sebelum ini. Hukuman terbabit dikenakan terhadap pemain berkenaan selepas didapati melanggar artikel Artikel 59 Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Perak FC menentang JDT pada 21 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:00 AM